Semangat perpaduan antara kaum terpamer apabila sambutan Tahun Baharu Cina 2025 dimeriahkan dengan pelbagai acara dan sumbangan kepada masyarakat Tionghoa dilakukan oleh pemimpin KEADILAN di pelbagai peringkat di seluruh negara.
KEADILAN Cabang Shah Alam meneruskan tradisi mengedarkan pelbagai sumbangan istimewa seperti limau mandarin, kalendar 2025, nanas, dan tanglung kepada penduduk setempat dan ahli parti.
"Usaha ini merupakan inisiatif Ketua Cabang Shah Alam meskipun sibuk dengan tugas sebagai Ahli Parlimen, beliau sentiasa memastikan tradisi ini diteruskan setiap tahun.
"Barangan yang diberikan ini bukan sekadar hadiah malah penuh dengan makna mendalam dalam budaya Cina. Limau mandarin melambangkan kemakmuran dan nasib baik, manakala nanas menjadi simbol kekayaan dan tuah.
"Kalendar yang diberikan pula mencerminkan harapan untuk perancangan yang lebih baik sepanjang tahun, dan tanglung melambangkan pencerahan, kegembiraan, serta semangat perpaduan dalam keluarga dan komuniti," kata Rodziah (gambar atas) dalam hantaran di Facebook.
Kepimpinan KEADILAN Cabang Kuala Selangor pula mengambil kesempatan sambutan Tahun Baharu Cina untuk menziarahi bekas Naib Ketua KEADILAN Cabang Kuala Selangor, Alan Lim yang pernah mencurahkan tenaga dan bakti kepada parti di kawasan itu sejak zaman reformasi.
Program ziarah itu disertai Ketua Wanita KEADILAN Cabang Kuala Selangor Nantha Kumari, Naib Ketua Cabang Gunasakaran Subramaniam dan Ahli Jawatankuasa AMK Kuala Selangor Murvinthen Mohan.
コメント