'Ziarah Kasih Reformis Pandan' rapatkan reformis - generasi penerus KEADILAN
- Redzuan Shamsudin
- May 23, 2024
- 2 min read

Program 'Ziarah Kasih Reformis Pandan' yang dianjurkan oleh KEADILAN dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pandan baru baru ini berjaya merapatkan hubungan di antara generasi awal pejuang reformasi dan generasi penerus KEADILAN pada hari ini.
Menurut Pengarah Program, Mohd Ifwat Amir Hamirudin, program menziarahi 11 otai reformis itu turut memberi sedikit sumbangan kepada pejuang awal parti yang telah berjasa kepada KEADILAN Pandan atau pada peringkat nasional.
"Syukur kepada Allah kerana telah mempermudahkan urusan Program "Ziarah Kasih Reformis Pandan"
"Sekitar 10 buah rumah dan 11 reformis berjaya saya dan pasukan selesaikan.
"Pejuang reformis atau otai ini telah berjuang selama ini dalam memberi sokongan di lapangan atau melalui undian mereka kepada parti sejak dari awal penubuhan sehingga kini," kata Ifwat dalam satu kenyataan.

Menurut Naib Ketua AMK Pandan itu lagi, dalam ziarah tersebut mereka menimba pengalaman daripada otai reformis dengan mendengar kisah awal penubuhan KEADILAN, dan menjadi pembakar semangat juang buat generasi baharu terutama anggota AMK.
"Paling tidak saya lupakan bila team AMK rasa teruja mendengar cerita dari otai reformis dan melihat koleksi-koleksi (foto) yang masih mereka simpan.
"Banyak juga bentuk nasihat yang diberikan kepada angkatan anak muda ini," katanya.
Ifwat dalam kenyataan itu turut melahirkan penghargaan kepada pihak yang menjayakan ziarah itu seperti Ketua Cabang, Timbalan Ketua Cabang Pandan dan Ketua AMK Cabang serta saf kepimpinan AMK Pandan yang menyokong melalui sumbangan tenaga dan memberi idea untuk mewujudkan program ziarah berkenaan.
"Terima kasih kepada pasukan AMK yang menyumbang tenaga bersama-sama saya menyantuni dan menyampaikan amanat dari Ketua Cabang Pandan, Timbalan Ketua Cabang dan Ketua AMK Cabang Pandan. Tanpa sokongan team AMK ini saya tidak dapat melaksanakan program ini dengan lancar
"Juga kepada Nordin, Dr Basbullah, Lila, Soosy, Aina Abida, Zulhilmi dan Ah Sang yang membantu saya menyenaraikan," katanya.
Ifwat berharap pada masa hadapan beliau dan rakan rakan akan mengadakan program ziarah reformis 2.0.
Comments