Zaidi Jatil bersaing tandingi Ketua Cabang KEADILAN Kota Marudu
- Suara Keadilan
- Mar 22
- 1 min read

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah, Zaidi Jatil secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang KEADILAN Kota Marudu dalam pemilihan parti kali ini.
Menurut satu kenyataan, keputusan itu diambil bagi memastikan KEADILAN Kota Marudu terus kukuh sebagai wadah perjuangan rakyat, selari dengan matlamat memperkasa jentera parti serta memperkuatkan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
"Kota Marudu adalah antara cabang yang teguh membawa panji reformasi di Sabah sejak awal perjuangan KEADILAN. Dengan keanggotaan yang semakin berkembang, cabang ini mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju politik di kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zaidi, fokus utama beliau adalah memperkukuh organisasi cabang, menggerakkan program di peringkat akar umbi, serta memastikan parti kekal utuh dalam menghadapi cabaran politik mendatang.
Seiring dengan hasrat itu, Manifesto #157 telah dilancarkan di Hotel Marudu Inn, Kota Marudu baru baru ini dan menggariskan 1 Visi, 5 Misi, 7 Teras sebagai langkah strategik untuk memperkasakan cabang dan memperkukuh perpaduan dalam parti.
Manifesto ini, kata kenyataan itu, menekankan kepentingan memperkuat jentera parti, menolak politik wang, dan memastikan PKR Kota Marudu menjadi kuasa utama dalam PRN17 ini.
"Saya yakin KEADILAN Kota Marudu mampu bangkit lebih kuat. Saya menyeru seluruh anggota parti agar bersatu hati membina pasukan yang teguh dan bersedia membawa perubahan besar menjelang PRN-17 Sabah," tambahnya.
Dalam pertandingan peringkat cabang, Zaidi akan melawan tiga pencabar iaitu Sazalye Donol Abdullah (Setiausaha MPN Sabah merangkap Ketua Cabang Kota Marudu), Jasmon Jaji dan Jolius Majawai.
Selain penglibatan politik, Zaidi juga merupakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Kesejahteraan Sabah serta Ahli Lembaga Pengarah Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd.
Comments