
Oleh: Akmal Manaf
Gencatan senjata antara Hamas dan rejim Israel yang rapuh di Gaza perlu dijadikan pendorong untuk rakyat Malaysia menguatkan lagi sokongan dan dukungan kepada rakyat Palestin.
Bagi Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu kemenangan Palestin akan berlaku dengan kekuatan jihad rakyatnya dan bantuan dari seluruh dunia Islam.
Oleh itu, beliau tetap optimis bahawa kemenangan rakyat Palestin kini semakin hampir.
''Yakinlah kemenangan Palestin semakin hampir.. jangan putus asa.. cara nak capai kemenangan.. itu (tugas) Allah..
''Tugas kita pula adalah menyokong dan membantu.. Malaysia hanya setakat ini memberi bantuan kemanusiaan dan kita buat sekadar termampu,'' katanya ketika berucap pada Himpunan Hari Al Quds Sedunia 2025 di hadapan Bangunan Tabung Haji, di ibu negara hari ini.
Turut hadir antaranya adalah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Malaysia (MAPIM), Azmi Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi; Pengerusi AMANAH Wilayah, Khalid Abd Samad dan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hasbie Muda.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menzahirkan keyakinan beliau terhadap keupayaan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menunjukkan solidariti di arena antarabangsa.
''Kita yakin PMX mampu melakukan sesuatu untuk membawa isu Palestin ke peringkat lebih tinggi di pentas dunia.
''PMX diharap dapat memainkan peranan untuk menyusun semula kelompok-kelompok perjuangan agar dunia kembali kepada keadilan,'' ujarnya lagi.
Tegas Mohamad, meskipun negara Arab jiran Palestin kurang berani untuk berjuang memerdekakan bumi para ambia itu negara Eropah dan Afrika Selatan muncul membela umat Islam di Palestin dan menentang kekejaman Israel di pentas antarabangsa.
Untuk rekod, dalam pengeboman terbaharu rejim semalam sekurang-kurangnya 20 lagi rakyat Palestin terbunuh di Semenanjung Gaza.
Pesawat tempur Israel menyerang sebuah rumah di kawasan kejiranan Al-Saftawi, utara Bandar Gaza, menyebabkan tujuh orang terbunuh, lapor media antarabangsa.
Sejak seminggu lalu apabila Israel mencabul gencatan senjata lebih 600 rakyat Palestin telah terbunuh akibat pengeboman berterusan.
Comments