Oleh: Azuan Ab Rahman
Tindakan menyalahguna isu perjuangan Palestin dan Masjidil Aqsa semata-mata untuk kepentingan peribadi, kelompok dan parti politik merupakan perbuatan sangat tidak wajar.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, semua kelompok masyarakat perlu rasional, berlapang dada, bersifat terbuka serta dapat membezakan kepentingan lain dengan perjuangan Masjidil Aqsa.
"Tumpukan kepentingan perjuangan ini sebagai tanggungjawab bersama umat Islam dan mengangkatnya menjadi isu kemanusiaan sejagat agar seluruh rakyat Malaysia dan penduduk dunia bersama dalam perjuangan ini," katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.
Melalui kenyataan sama, Hasanuddin turut menyeru semua pihak menyokong dasar perjuangan Palestin yang digariskan oleh semua Perdana Menteri Malaysia termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Himpunan Gerakan Islam Malaysia (Hikam) yang dianggotai empat badan bukan kerajaan berkaitan Islam turut menzahirkan rasa kesal dan kecewa apabila isu berkaitan Palestin diperalatkan untuk menyerang lawan politik, terutamanya menjelang pilihan raya kecil (PRK).
Melalui satu kenyataan berasingan, Hikam menegaskan isu kemanusiaan dan pelanggaran prinsip hak asasi yang amat serius dan kritikal di Palestin tidak seharusnya diperalatkan untuk meraih sokongan politik.
"Apabila di politikkan, isu Palestin yang sepatutnya menyatukan, berpotensi untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia apabila dipolitikkan angkara pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
"Melabel, memfitnah mana-mana pihak yang turut memperjuangkan isu Palestin adalah tidak wajar dan melanggar adab serta akhlak dalam menangani perselisihan. Isu Palestin sewajarnya diperjuangkan dengan konsisten dan objektif," menurut kenyataan itu.
Comments