Wujudkan dasar anti buli di semua institusi pendidikan - Azli Yusof
- Suara Keadilan
- Apr 9
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa agar diwujudkan satu dasar berkaitan anti-buli susulan kes-kes sebelum ini dan terbaharu yang dilaporkan melibatkan kejadian di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pulau Pinang.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof menyarankan agar semua institusi pendidikan terutamanya sekolah berasrama memperkukuhkan pelaksanaan polisi anti-buli yang menyeluruh.
Katanya, pelaksanaan polisi secara holistik itu termasuk pencegahan, pengesanan awal, mekanisme aduan yang mudah, dan intervensi berasaskan psikososial.

''Kami berpandangan mekanisme aduan yang terbuka dan telus perlu diwujudkan. Ia hendaklah merupakan satu sistem aduan yang lebih mesra pelajar, terbuka dan telus, supaya pelajar tidak teragak-agak untuk melaporkan sebarang kejadian buli.
''Ini termasuk jaminan kerahsiaan dan perlindungan kepada pemberi maklumat (whistleblower), agar mereka tidak takut dikenakan tindakan balas atau stigma.
''Selain itu, latihan dan kesedaran kepada warga sekolah merangkumi guru, warden dan kakitangan sekolah perlu dipertingkatkan untuk mengesan dan menangani gejala buli. Pelajar juga perlu dididik tentang empati, hormat-menghormati dan keberanian untuk melaporkan sebarang salah laku,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Azli lagi, pada masa sama, ibu bapa dan masyarakat juga perlu dilibatkan secara aktif dalam membina ekosistem pendidikan yang selamat.
Justeru ujarnya, AMANAH mencadangkan satu platform aduan mesra pelajar dan ibu bapa diwujudkan di setiap sekolah berasrama penuh.
''AMANAH percaya bahawa pembinaan sahsiah pelajar yang seimbang adalah asas kepada pembinaan negara madani dan beretika.
''Maka, setiap institusi pendidikan wajib memainkan peranan untuk memastikan anak-anak kita dibimbing dalam suasana ihsan dan penuh hormat,'' katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Azli berkata, pihaknya memandang serius insiden buli yang dilaporkan berlaku di sebuah MRSM di Pulau Mutiara itu baru-baru ini.
Kejadian itu katanya bukan sahaja menggemparkan masyarakat, malah mencemarkan nama baik institusi pendidikan yang seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk membina masa depan anak-anak yang bakal mewarisi kepimpinan negara.
Menurut Azli, pihaknya juga mengambil maklum bahawa kejadian sedemikian bukanlah kes buli serius yang pertama kali dilaporkan melibatkan pelajar.
''Ia mencerminkan perlunya tindakan yang lebih menyeluruh, berterusan dan bukan sekadar reaksi sementara terhadap kejadian yang berlaku.
''AMANAH juga menyambut baik kenyataan dan tindakan tegas Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi MARA, yang jelas menyatakan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk budaya buli.
''Pendekatan tegas ini amat penting sebagai mesej jelas bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar adalah keutamaan mutlak.
''Jadi, kami menggesa siasatan menyeluruh dan tindakan tegas MARA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pihak berkuasa berkaitan mesti menyiasat kejadian ini dengan telus dan menyeluruh.
''Sekiranya terdapat kecuaian atau kelalaian pihak pentadbiran, tindakan sewajarnya perlu diambil dan pembuli juga harus diberikan tindakan yang mendidik dan memulihkan, bukan sekadar menghukum,'' tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu.
Comentarios