Oleh: Azuan Ab Rahman
Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan segera dan tegas bagi memastikan keselamatan semua anggota pengaman PBB yang melaksanakan mandat Majlis itu.
Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi satu kenyataan menegaskan, Malaysia mengutuk serangan rejim Zionis di Selatan Lubnan baru-baru ini yang mencederakan enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT).
Kenyataan itu turut menegaskan, peranan penting Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) tidak sepatutnya dikompromi.
Justeru keselamatan pasukan pengaman PBB serta petugas, konvoi dan infrastruktur misi kemanusiaan perlu sentiasa dilindungi dan diutamakan.
"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel di Sidon, Selatan Lubnan pada 7 November lalu yang mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan enam anggota pengaman Malaysia yang bertugas dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) serta tiga orang askar Lubnan.
"Serangan haram berterusan Israel mencabul Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Konvensyen Geneva dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 yang menjadi asas kepada mandat UNIFIL untuk melaksanakan misi dan operasi di rantau berkenaan
"Ini satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dikompromi dan harus dipatuhi oleh semua negara tanpa sebarang pengecualian," kata kenyataan itu.
Khamis lalu, sebuah konvoi pasukan pengaman PBB diserang ketika melalui bandar Saida di selatan Lubnan. pasukan yang terdiri daripada 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat, baru tiba di Lubnan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila serangan berlaku.
Commenti