
Wisma Putra cemerlang dalam tugas menaikan imej negara di mata dunia terutama dalam isu isu keadilan sejagat dan isu yang menyentuh negara ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Luar, semalam.
"Terima kasih warga Kementerian Luar kerana dapat mengangkat ikhtiar dan usaha membanggakan serta dibebankan dengan tugas yang jauh lebih besar berbanding beberapa tahun sebelum ini.
"(Berdasarkan) pengalaman saya bersama-sama dalam kunjungan dan ke luar negara (termasuk) ASEAN terutamanya beberapa negara luar, saya melihat prestasi membanggakan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada negara," katanya dipetik.
Ujar Anwar, Wisma Putra di bawah kepimpinan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan telah menjadi perhubungan penting dalam membawa wawasan dan dasar antara Malaysia serta negara luar.
"Saya tak bergurau, ini adalah nota serius, apabila Perdana Menteri jemput, tidak semua duta datang tetapi apabila Menteri Luar buat jemputan, saya lihat ramai (duta dan wakil negara luar) hadir tanpa gagal.
"Ini secara tidak langsung membuktikan kekuatan dan pengaruh Menteri Luar, tahniah dan sekali lagi terima kasih," katanya lagi.
Comments