Wilayah Persekutuan terus menjadi contoh kemajuan dan pembangunan kepada negeri negeri lain dalam persekutuan Malaysia dari pelbagai aspek, sesuai dengan pengurusan bandaraya berstandard tingginya.
Bagi Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Andre Lai Cheng Heng, Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada hari ini menjadi detik istimewa untuk rakyat Malaysia menilai kembali kejayaan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya di bawah pentadbiran kerajaan sebelumnya dan Kerajaan Madani.
Katanya, Wilayah Persekutuan sebagai pusat pentadbiran, perdagangan dan budaya negara telah menjadi lambang kejayaan Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, kemampanan serta kemakmuran bersama.
"Di bawah kerangka Malaysia Madani, Wilayah Persekutuan terus menjadi model kejayaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi, memelihara keharmonian masyarakat, dan memastikan pembangunan mampan untuk generasi akan datang.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta dan rakyat pelbagai kaum yang bersatu padu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Andre Lai, selain mengenang kembali peristiwa bersejarah pada 1972 Kuala Lumpur mencapai status bandar raya, rakyat juga perlu melihat pertumbuhan pesat ibukota tersebut sepanjang lima dekad dan terkini akan dijadikan bandar pintar setanding metropolis di peringkat antarabangsa.
"Dengan pendekatan yang holistik dan inovatif, DBKL telah berjaya menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang dinamik, mampan, dan mesra rakyat.
"Ditambahkan pula intipati daripada PM Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang mampu didiami oleh semua lapisan Masyarakat. Inisiatif yang dilancarkan beliau seperti Lestari Niaga untuk memperkasakan peniaga kecil-kecilan dan Rumah MADANI untuk pembangunan rumah mampu milik.
"Pada masa yang sama, Datuk Seri Dr Maimunah, Datuk Bandar sekarang telah menetapkan visi supaya Kuala Lumpur dijadikan sebagai sebuah bandaraya yang boleh didiami dan dicintai ramai. (di bawah program Making Kuala Lumpur a Liveble & Lovable City)," ujarnya.
Dalam pada itu, Andre Lai yang juga Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan mahu rakyat turut menghargai jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang telah membina asas kukuh untuk kemajuan Wilayah Persekutuan.
Semangat perpaduan, toleransi dan kerjasama yang menjadi teras Malaysia Madani, katanya harus terus dipupuk demi masa depan yang lebih gemilang.
Commentaires