Wilayah Persekutuan akan dijadikan bandar pintar menjelang 2030.
Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ucapan Menjunjung Kasih di Istana Negara sempena Hari Wilayah pada hari ini.
"Hasrat itu selari dengan konsep Malaysia MADANI yang turut memberi penekanan kepada aspek kemampanan dengan konsep kota hijau dan kota pintar," kata Anwar ketika menghadiri upacara pengurniaan darjah kebesaran oleh Yang di-Pertuan Agong.
Kata Ahli Parlimen Tambun itu lagi, Jabatan Wilayah Persekutuan turut sedang merangka agenda pembangunan untuk masa hadapan secara mampan, berdaya huni dan pintar.
Hal itu meliputi penggunaan bas elektrik di Kuala Lumpur, Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon, penambahan pemasangan kamera litar tertutup di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta pemasangan Wi-Fi di projek perumahan rakyat dan perumahan awam di Labuan.
"Saya turut menegaskan bahawa usaha-usaha tebatan banjir akan diteruskan dengan lebih gigih selaras dengan pelan mitigasi banjir yang telah disediakan.
"Saya menzahirkan keyakinan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi-agensi terlibat untuk terus bergerak sederap sebagai satu jentera pasukan perkhidmatan awam untuk mentadbir dan mengurus kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan dengan baik dan bijaksana," katanya.
Dalam upacara berkenaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dianugerahi gelaran Datuk Seri serta beberapa tokoh kerajaan lain.
Enam lagi penerima SMW yang merupakan Darjah Kebesaran Pangkat Kedua ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak; Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin; Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris; Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Eng Wei Chun dan Pengarah Eksekutif Amechanus Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Lawrence Yeo Chua Poh.
Mereka antara 164 penerima darjah kebesaran bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2023
Comments