Oleh: Abdullah Zaid
Suasana di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undang Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail sesak dengan lautan biru terdiri daripada pemimpin dan jentera perpaduan.
Penyokong Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dilihat berkumpul di Jalan Mengkibol sebelum ke pusat penamaan calon.
Dalam pada itu, beberapa pimpinan utama menyertai perarakan bagi mengiringi calon antaranya Naib Presiden KEADILAN Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh serta Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.
PRK DUN Mahkota dijangka menyaksikan persaingan antara Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Pilihan raya berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 September ini sebagai hari mengundi manakala hari mengundi awal pada 24 September.
Seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal, manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu seramai 1,126 orang.
Untuk rekod, DUN Mahkota merupakan satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Kluang.
Comments