Warga emas seharusnya disantuni dan diberikan penghidupan yang selesa serta bermaruah mengambil kira jasa dan peranan yang mereka taburkan di sepanjang usia.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, masyarakat wajar diberi kesedaran ketika mana negara mula memasuki kategori menua dan generasi muda menggalas beban menjaga warga emas.
Katanya kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam pembelaan warga emas, namun masyarakat perlu mempunyai lebih banyak kesedaran mengenainya.
"Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat telah melaksanakan inisiatif dan kita tubuhkan lebih banyak pusat jagaan warga emas.
"Kita mahu cara mana nak berada dalam usia tua dengan lebih baik. Satu Rang Undang undang Warga Emas (juga bakal digubal) untuk memastikan hak asasi dan pemerkasaan warga emas.
"Semua usaha yang dilaksanakan ini untuk memastikan warga emas dihormati dan menjalankan kehidupan dengan penuh bermaruah
"Namun apa yang lebih penting ialah mendapatkan kerjasama dengan semua pihak," katanya dalam Majlis Peluncuran Kempen Menua Dengan Bermaruah Amal Sempena Hari Kesedaran Penderaan Warga Emas Sedunia di M Resort & Hotel, Damansara tengah hari tadi.
Dr Wan Azizah juga berpesan agar Malaysia tidak menjadi seperti sesetengah negara maju yang mempunyai agensi ditugaskan memerhati warga emas sekiranya tidak kelihatan dalam beberapa hari, maka mereka telah meninggal dunia.
Katanya, Malaysia Madani seharusnya tidak perlu agensi semacam itu dan kejiranan perlu mengambil berat terhadap warga emas selain anggota keluarga.
"Kita tidak mahu jadi begitu, kejiranan merupakan satu jalinan untuk menjaga satu sama lain, terutama warga tua kita.
"Supaya negara kita membangun dengan nilai Madani, ada hati, ada rasa, kemanusiaan.
"Saya menyeru semua pihak terutama media agar menyiarkan lebih banyak tentang isu penuaan ini," katanya.
Di samping itu, isteri Perdana Menteri juga mengambil kesempatan memuji Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengecualikan diri daripada tugas apabila ibunya sakit agak kritikal di hospital pada waktu ini.
Dr Wan Azizah turut berpesan agar generasi muda terus menghormati warga emas terutama ibu dan bapa. Katanya, penganut Islam berdosa sekiranya melayan ibu atau bapa secara kasar atau tidak menghormati mereka.
Comments