Wanita Pakatan Harapan (PH) telah menggerakkan jentera mereka bagi berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang
Timbalan Ketuanya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya kini dalam misi menawan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sekali gus memperkukuh penguasaan gabungan Kerajaan Perpaduan.
"Dari segi gerak jentera wanita sudah berjalan, kita sudah mula lebih awal sebenarnya dan momentum (sangat baik) yang kita lihat untuk memberi tumpuan kepada (rakyat) Sungai Bakap.
"Misi kita adalah untuk menawan Sungai Bakap dan (terus) memberi khidmat kebaktian terbaik untuk rakyat (kawasan itu)," katanya dipetik.
Fadhlina sebelumnya ditemui pemberita selepas menghadiri satu sidang media berhubung Projek Mitigasi Banjir di Jawi pada Ahad.
PRK Sungai Bakap akan diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Bagi tujuan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengadakan satu Mesyuarat Khas bagi membincangkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil ke-9 (PRK9) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Pulau Pinang dilapor sudah menghantar senarai pendek nama calon untuk dipertimbangkan bagi mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK itu.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abd Hamid berkata, senarai nama terdiri daripada lelaki dan wanita anak tempatan berusia antara 30 hingga 60 tahun itu diserahkan untuk dipertimbangkan dan diperhalusi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Comments