Konflik terbaharu Palestin - Israel sebagaimana dibentangkan dalam usul Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Zahid Hamidi di Dewan Rakyat pagi tadi yang menyeru rakyat Palestin diberi kebebasan bernegara sendiri disokong oleh Wanita KEADILAN Pusat.
Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin, pendirian menuntut kemerdekaan Palestin dan Baitulmaqdis Timur dijadikan ibu negara amat penting direalisasikan bagi mengembalikan keamaman di rantau Asia Barat.
"Bagi Wanita KEADILAN Pusat yang dipimpin oleh YB Fadhlina Sidek, pendirian kerajaan ini adalah bukti bahawa Malaysia yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap tegas memperjuangkan nasib rakyat Palestin sejak dahulu lagi.
"Dalam waktu yang sama, Wanita KEADILAN Pusat juga menyokong penuh empat ketetapan yang merupakan pendirian rasmi Malaysia sebagaimana dinyatakan Timbalan Perdana Menteri dalam isu Palestin ini," kata Noraini dalam kenyataan.
Empat pendirian Malaysia yang dinyatakan oleh TPM Zahid ialah, kebimbangan menghadapi ketegangan yang kian memuncak di mana ratusan nyawa telah terkorban di samping melibatkan kerosakan harta benda yang besar; Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu agar segera bertindak menghentikan segala keganasan; Menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan bagi menghentikan keganasan serta mengembalikan keamanan dan Rakyat Palestin perlu dikembalikan hak daripada pendudukan haram Israel, dikembalikan tanah yang telah dirampas dan hak membentuk negara Palestin yang berdaulat.
"Wanita KEADILAN Pusat melihat empat ketetapan kerajaan ini adalah langkah paling bijaksana serta adil dalam menyelesaikan kemelut di Palestin yang sudah berlarutan selama 75 tahun lamanya.
"Serentak itu, Wanita KEADILAN juga berharap agar seluruh rakyat, tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik, agar bersama-sama dengan kerajaan dalam iltizam dan ketegasan menyelesaikan isu Palestin ini, seterusnya memastikan dunia menjadi lebih aman untuk dihuni oleh sesiapa saja," kata Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat itu lagi.
Konflik Palestin - Israel tercetus Sabtu lalu apabila sayap bersenjata Hamas melancarkan serangan mengejut dan berjaya mara 20 kilometer ke dalam wilayah Israel daripada wilayah Gaza.
Sehingga kini konflik itu telah mengorbankan lebih 600 orang awam dan tentera Zionis.
Manakala di pihak Palestin lebih 500 orang awam terkoban akibat serangan udara berterusan rejim Zionis ke atas Gaza.
Comments