Oleh: Akmal Manaf
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang boleh diadakan pada bila bila masa menjelang berakhir tempoh penggal pada Oktober 2025 menuntut persediaan menyeluruh daripada parti parti yang membentuk Kerajaan Negeri untuk mempertahankan kemenangan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagi Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Sabah, Datin Rufinah Pengeran, beliau yakin terhadap kesiapsiagaan jentera Wanita KEADILAN Sabah pada tahap tertinggi sekiranya PRN Sabah ke-17 diisytihar dalam beberapa bulan ini.
Jelasnya, sayap Wanita Sabah sudah bersedia dengan pelbagai gerak kerja dan konsisten turun ke lapangan menyantuni rakyat.
"Saya percaya Wanita KEADILAN Sabah memang sudah lama bersedia kerana kita komited dan konsisten turun ke lapangan menyantuni rakyat. Kita juga giat menjalankan kursus persiapan jentera pilihanraya.
"Kita ada manpower kita sendiri. Saya percaya kita sudah bersiap sedia dengan baik," katanya kepada Suara Keadilan.
Mengulas kerjasama dengan parti parti lain dalam PRN, Rufinah yang juga Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat berkata, hal itu diserahkan kepada pimpinan tertinggi peringkat negeri dan pusat untuk memutuskannya.
"Soal kerjasama, saya serahkan kepada kepimpinan parti kerana saya percaya dengan siapa pun parti bekerjasama, kami akan memberikan yang terbaik untuk kemenangan semua," ujarnya.
Tentang penerimaan pengundi pula, Rufinah membayangkan KEADILAN menerima sokongan memberansangkan terutama daripada golongan muda.
"Kita harap boleh mendapatkan undi yang lebih banyak daripada kumpulan masyarakat lain memandangkan prestasi tatakelola Kerajaan Madani sekarang adalah lebih baik," kata beliau lagi.
Comments