Oleh: Akmal Manaf
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke 17 yang akan diadakan pada bila bila masa tahun ini, sayap Wanita KEADILAN Sabah berada dalam mood siap siaga untuk bertempur sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Exco Wanita KEADILAN, Siti Norffinie Yassin berkata, bagi menghadapi persaingan itu mereka telah memperkukuh struktur organisasi, memperkasa jentera kempen di peringkat akar umbi, serta melibatkan diri dalam program kemasyarakatan untuk meraih sokongan pengundi.
"Pemerkasaan wanita dalam parti telah menjadi fokus utama, dengan melibatkan lebih ramai aktivis wanita untuk menyampaikan mesej perubahan dan keadilan kepada pengundi, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.
"Walaupun terdapat beberapa cabaran, semangat dan kesiapsiagaan Wanita KEADILAN Sabah menunjukkan mereka sudah bersedia untuk bertanding dan bersaing dalam pilihanraya," katanya sewaktu ditemui selepas menghadiri Bengkel Run-2-Win di Kota Kinabalu baru baru ini.
Mengenai kerjasama dengan gabungan parti lain, Norffinie berkata, sayap wanita terbuka berkerjasama dengan mana mana parti yang diputuskan di peringkat negeri atau pusat menjelang PRN.
Katanya, KEADILAN Sabah termasuk sayap wanita komited kepada perjuangan untuk membawa perubahan dan reformasi politik di negeri tersebut.
Katanya, Wanita akan bekerjasama dengan parti atau gabungan yang bersetuju dengan nilai nilai perjuangan KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menegakkan prinsip keadilan, kebebasan, dan kesejahteraan rakyat.
"Kerjasama dengan mana mana gabungan dalam pilihanraya boleh dianggap satu keputusan yang memerlukan pertimbangan teliti, terutamanya jika ia melibatkan perbezaan dasar dan ideologi.
"Namun, jika ada ruang untuk kerjasama demi kepentingan rakyat Sabah, Wanita KEADILAN mungkin terbuka kepada perbincangan dengan pihak-pihak tertentu," katanya lagi.
Untuk rekod, penggal bagi DUN Sabah akan berakhir pada Oktober 2025.
Pembubaran DUN dijangka akan dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebelum tempoh itu bagi memberi laluan PRN Ke-17 dilaksanakan.
Terdapat penganalisis politik menjangkakan DUN Sabah akan dibubarkan pada Ogos 2025, bagaimanapun Ketua Menteri masih belum memberi isyarat sama ada PRN akan diadakan dalam tempoh terdekat atau menjelang hujung tahun.
Comentários