Wanita KEADILAN Pulau Pinang mendukung penuh pelantikan Senator Fuziah Salleh sebagai Setiausaha Agung KEADILAN yang baharu berkuatkuasa semalam.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Pulau Pinang, Nurhidayah Che Rose, pengalaman luas Fuziah yang bersama KEADILAN sejak era reformasi melayakkan beliau berada di jawatan berkenaan.
"Berbekalkan pengalaman yang luas dan keupayaan yang telah dibuktikan sepanjang bersama KEADILAN, perwakilan ini percaya bahawa Senator Fuziah Salleh bukan sahaja akan memikul tanggungjawab ini dengan penuh amanah, malah KEADILAN akan mendapat kepimpinan daripada seorang wanita yang penyayang, cekal dan progresif.
"Sebagai wanita pertama yang menjawat jawatan Setiausaha Agung sejak parti ini ditubuhkan, Wanita Pulau Pinang amat berbangga dengan pencapaian parti yang tidak menolak peri pentingnya peranan sosok wanita dalam reformasi sesebuah organisasi bagi membentuk sebuah masyarakat Madani," katanya dalam kenyataan.
Tambah Nurhidayah, sesuai dengan kata pepatan Melayu ‘tangan yang mengayun buaian dapat menggoncang dunia', beliau percaya kepimpinan dan sumbangan seorang wanita yang berakhlak dan berilmu seperti Senator Fuziah Salleh mampu melonjakkan kewibaan KEADILAN untuk terus meneraju Malaysia.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih di atas jasa Setiausaha Agung sebelum ini, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang merupakan setiausaha parti paling lama berkhidmat dalam sejarah.
"Buat Datuk Seri Saifuddin, terima kasih atas khidmat bakti yang dicurahkan selama berkhidmat sebagai Setiausaha Agung KEADILAM dan juga tidak pernah mengetepikan kedudukan Wanita.
"Jasa dan pengorbanan Datuk Seri sangat bermakna buat KEADILAN," katanya.
Tegas Nurhidayah, Wanita KEADILAN Pulau Pinang akan terus memberikan dukungan dan sokongan padu kepada Senator Fuziah Salleh untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.
Commentaires