
Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Ketua Wanita Wilayah Persekutuan, Rohani Hussin hari ini menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang menyatakan Wanita KEADILAN `semakin lesu’ .
Sebaliknya Rohani menegaskan, sejak Fadhlina Sidek menerajui Ketua Wanita KEADILAN Pusat, sayap parti itu sentiasa aktif dan sentuhan beliau dapat dirasai bukan sahaja di cabang-cabang tetapi juga peringkat akar umbi.
"Terlalu banyak sumbangan YB Fadhlina untuk mengerakkan aktiviti wanita di seluruh negara. Selain daripada bantuan dana dan barangan, program ilmu juga turut dilaksanakan supaya wanita mampu berdikari serta berdaya saing.
"Dakwaan YB Rodziah itu keterlaluan. Janganlah kerana mahu merebut jawatan memburuk-burukkan lawan. Bertandinglah secara sihat dan profesional. Usah mencari salah orang lain," tegas Rohani yang juga Ketua Wanita KEADILAN Cabang Putrajaya.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Rodziah dalam media menyebut Wanita KEADILAN `lesu’ dan sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Pusat dalam pemilihan parti sesi 2025 - 2028 pada Mei ini.
Rodziah juga mendakwa sejak penghujung tahun lalu ramai ahli parti meminta beliau kembali dalam saf pimpinan sayap berkaitan.
Program sentuhan hati Wanita
Mengulas lanjut sumbangan Fadhlina terhadap sayap wanita, Rohani menyenaraikan lebih dua belas contoh program yang menyentuh hati wanita.

Antara program serta sumbangan tersebut termasuklah agihan Bakul Madani Wanita (BMW), Kembali ke Sekolah, Cek Cuta B40, Suri Perkeso untuk surirumah B40 dan Misi Banjir ke seluruh negara.
Katanya, Fadhlina seorang ketua yang rajin turun padang untuk menyantuni komuniti yang dilanda musibah tanpa mengira kaum.
"Saya sebagai Ketua Wanita Wilayah amat menyokong untuk Fadhlina dikekalkan menerajui wanita KEADILAN untuk sesi 2025-2028.
"Beliau baharu menjadi KWP (2022). Yang lama mesti berlapang dada untuk membimbing atau memberi nasihat dengan ikhlas.
"Beri peluang untuk Fadhlina meneruskan misi dan visi yang telah dirancang untuk memperkasakan lagi wanita KEADILAN," jelasnya.
Fadhlina kaya sifat kasih sayang
"Sebagai ketua, Fadhlina kaya dengan sifat kasih sayang dan tidak pernah memilih bulu dalam menghulur bantuan kepada yang memerlukan. Beliau juga tidak lokek menghulur dana untuk wanita mengadakan aktiviti di kawasan masing-masing.

"Fadhlina juga tidak suka memburukkan lawan. Beliau bertanding secara berhemah, kasih sayang serta hormat.
Kepimpinan Fadhlina amat diperlukan jika wanita ingin terus maju mencapai kejayaan yang gemilang," katanya.
Selain itu Rohani juga menyenaraikan Sekolah Politik (SWAN) dan sistem ASAK yang diperkenalkan oleh Wanita KEADILAN membuktikan Fadhlina seorang pemimpin yang berpandang jauh dalam usaha memperhebatkan wanita.
"Fadhlina sentiasa ada idea baharu untuk menyegarkan wanita. Saya orang lama dalam parti sudah pasti boleh menilai kepimpinan yang terbaik dan amat diperlukan oleh wanita KEADILAN," jelas beliau lagi yang telah bersama KEADILAN sejak awal penubuhan parti tersebut.
Pemilihan KEADILAN bagi sesi 2025-2028 yang bakal berlangsung pada 24 Mei ini yang melibatkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Pusat.
Manakala bagi pemilihan untuk jawatan di peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Cabang pula telah ditetapkan pada 11 April 2025 hingga 20 April 2025.
Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis, bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan
Comments