Oleh: Helmi Mohd Foad
Wanita KEADILAN hari ini melancarkan kempen #SayangiDiri untuk menggalakkan golongan Hawa menjaga kesejahteraan diri dari segi fizikal, mental dan pemberdayaan diri.
Kempen tersebut dilancarkan oleh ketuanya, Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan selepas berucap dalam Kongres Nasional Tahunan Wanita KEADILAN ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Pengarah kempen itu, Sangetha Jakumar berkata penyelidikan saintifik mengenai neuroplasticity dan psikologi jelas menunjukkan apabila wanita sayangi diri dan menjaga diri sendiri, mereka menjadi lebih kuat, lebih sihat dan lebih bertenaga.
"Pembangunan minda, kecergasan badan dan semangat yang lebih berdaya bagi wanita akan pastinya melindungi institusi keluarga dan berjaya membina kepimpinan wanita," katanya dalam kenyataan.
Sangetha berkata kempen tersebut berteraskan empat elemen iaitu kesejahteraan mental, kesejahteraan fizikal, pemberdayaan fizikal dan hapuskan keganasan terhadap wanita.
Jelasnya golongan wanita perlu menyayangi diri dengan tidak membenarkan sesekali pun hak dan keselamatan mereka diugut selain berhak hidup dalam keadaan yang selamat.
"Langkah untuk mengurangkan keganasan terhadap wanita terutamanya dalam rumah tangga ialah sikap wanita terhadap hak mereka perlu diubah untuk meningkatkan harga diri dan efikasi diri mereka melalui perancangan, kaunseling dan kelas pendidikan.
"Apabila kita #sayangidiri, kita juga melindungi generasi akan datang dari keganasan domestik," ujarnya.
Orang ramai yang berminat menyertai kempen tersebut boleh mengisi borang penyertaan di pautan Google Form Link & QR Code Kempen SayangiDiri" https://forms.gle/V8bMuYstW4QcFiSu8
Comments