(Sorotan khas 3: Jelajah Ihsan Wanita Madani - Anjuran Biro Penerangan Wanita KEADILAN Pusat)
Wanita KEADILAN Negeri Johor menyambut baik penubuhan Tabung 30Wreps yang diilhamkan oleh Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek dengan langkah memulakan sumbangan awal sejumlah RM1,000 pada Sabtu lalu.
Penyerahan sumbangan tersebut dilakukan oleh Ketua Wanita KEADILAN Negeri, Zuraidah Zainab Mohd Zain kepada Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin dalam Siri Jelajah Ihsan Wanita Madani ke negeri tersebut.
Turut menyaksikan pemberian dana tersebut ialah Setiausaha Sulit Fadhlina Sidek, Yugins Muthusamy; Exco Wanita Pusat Noraziah Mohd Rozit; Ketua Cabang Pontian, Mohd Sayfaul Ariffin; Ketua Wanita KEADILAN Cabang Pontian, Nadiah Rosli serta anggota Wanita KEADILAN tempatan.
Menurut Zuraidah Zainab, sumbangan itu sebagai tanda Wanita Negeri Johor menyokong usaha Wanita KEADILAN Pusat menubuhkan tabung yang bertujuan untuk membantu calon-calon wanita yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 akan datang.
"Idea penubuhan tabung ini merangsang wanita untuk bergiat cergas dalam politik dan mengilap bakat mereka menjadi pemimpin yang terbaik untuk rakyat.
"Usaha murni ini mesti disokong oleh seluruh Wanita KEADILAN agar lebih ramai pemimpin kaum hawa dapat dilahirkan," jelas beliau yang pernah menjadi calon PRU15 bagi P155 Parlimen Tenggara.
Ujar Zuraidah Zainab lagi, pihaknya akan berusaha untuk meneruskan kempen tersebut di peringkat negeri melalui program-program yang dilaksanakan oleh Wanita Cabang Johor.
Sementara itu, mengulas mengenai program Jelajah Ihsan Wanita Madani, Noraini berkata siri jelajah kali ini adalah anjuran Biro Penerangan Wanita KEADILAN Pusat bersama Wanita Negeri Johor bermula pada 16 Januari lalu dan berakhir pada 21 Januari ini.
Sasar santuni komuniti
Sasaran program jelajah ini adalah untuk menyantuni komuniti di cabang-cabang sambil menyampaikan sumbangan pek makanan kering, back to school dan edaran limau sempena Tahun Baru Cina.
Selain itu turut diadakan sesi `kupi-kupi berinformasi’ sambil memberi taklimat berkaitan isu-isu semasa khasnya berkaitan bantuan Kerajaan Madani yang telah mengsejahterakan rakyat.
Menurut Noraini lagi, sebelum ini Jelajah Ihsan Wanita Madani telah diadakan di Perlis dengan menyantuni komuniti dari daerah Kangar, Padang Besar dan Arau.
Beliau berkata, program tersebut akan diteruskan ke Terenganu dan Pahang pada awal Febuari ini.
Melalui program seumpama itu juga pihaknya berkata, dapat menyantuni seberapa ramai komuniti tanpa mengira kaum dan lapisan masyarakat.
Commentaires