Wanita KEADILAN Johor terus mempergiatkan usaha menyantuni komuniti negeri tersebut dengan menjadi penganjur bersama Program Jelajah Jalinan Ihsan Wanita Madani dengan Biro Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.
Program empat dalam satu itu dilaksanakan selama enam hari bermula pada 16 Januari dan berakhir pada petang ini, bukan sahaja menyantuni masyarakat bandar tetapi juga ke desa-desa di luar Johor Bahru.
Selain daripada Johor Bahru daerah yang disinggahi termasuklah Pontian, Kota Tinggi, Kulai dan Tebrau.
Pasukan Wanita KEADILAN Negeri Johor diketuai Zuraidah Zainab Mohd Ibrahim yang juga Ketua Wanita Negeri manakala Biro Penerangan Wanita KEADILAN Pusat diterajui oleh Noraini Nordin merangkap Ketua Penerangan Wanita Pusat parti tersebut.
Turut bersama dalam jelajah itu ialah Ketua Wanita KEADILAN Cabang Pontian, Nadiah Rosli, Timbalan Ketua Wanita Kota Tinggi, Salwah Mahadi, Timbalan Ketua Wanita Tanjung Piai, Suhailey Saniman dan pimpinan wanita cabang negeri tersebut termasuk ahli cabang masing-masing.
Dalam misi jelajah itu pasukan Jelajah Jalinan Ihsan Wanita Madani telah menyantuni komuniti Kampung Parit Koromo (Pontian) yang menjadi mangsa banjir untuk menghulur sumbangan berupa pek makanan kering.
Di Kota Tinggi pula antara kampung disinggahi ialah Kampung Teluk Jeri Luar dalam kawasan Tanjung Sedeli bagi menyantuni penduduk di kawasan berkenaan.
Sumbangan kembali ke sekolah
Selain daripada memberi sumbangan pek makanan, turut diserahkan barangan `Kembali ke Sekolah’ bagi menceriakan kanak-kanak yang bakal memulakan alam persekolahan baharu.
Pasukan jelajah juga turut membuat serahan limau sempena Tahun Baru Cina dan membuat edaran buah buahan di Pekan Tanjung Sedeli.
Ketua Program, Noraini berkata, program empat dalam satu ini adalah untuk menyantuni mangsa-mangsa banjir, menyampaikan sumbangan Kembali Ke Sekolah, minum petang bersama pimpinan akar umbi Wanita KEADILAN Cabang sambil memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa.
Selain itu sempena program tersebut juga turut diadakan Kempen Tabung 30WReps yang telah dilancarkan oleh Ketua Wanita KEADILAN Pusat Fadhlina Sidek di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Noraini lagi, program `turun padang’ Wanita KEADILAN akan sentiasa diaktifkan ke seluruh negara sebagai tanda perihatin kepada komuniti setempat tanpa mengira di mana mereka berada.
"Sebelum ini pasukan kami telah menjelajah beberapa daerah di negeri Kelantan, Perlis bersama Ketua Wanita Negeri dan pasukan sukarelawan yang sentiasa gigih membantu.
"Kali ini tiba giliran negeri Johor pula. InshaAllah selepas ini kami akan ke Terengganu serta Pahang. Saya amat menghargai kerjasama ketua-ketua wanita negeri yang telah memberi komitmen untuk menyahut program ini. Semangat juang serta sabar dan cekal membantu masyarakat wajar dicontohi," ujar beliau lagi.
Noraini turut menjelaskan, bantuan barangan yang diberikan kepada mangsa-mangsa banjir dan limau adalah sumbangan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek.
Ceriakan penerima, mangsa banjir
Manakala sumbangan berupa beg sekolah dan alat tulis adalah daripada Yayasan Felcra.
Jelas Noraini, sumbangan tersebut diharap dapat menceriakan penerima dan terutama mangsa banjir ianya dapat meringankan beban mereka.
Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN Johor, Zuraidah Zainab berkata pihaknya akan mempergiatkan usaha `turut padang’ demi memastikan kebajikan anggota masyarakat terbela.
"Saya gembira kerana pimpinan Wanita KEADILAN Pusat sentiasa memberi sokongan dan terima kasih kepada YB Fadhlina Sidek yang sentiasa membantu kami.
"Saya juga menghargai bantuan daripada Biro Penerangan Wanita KEADILAN, Ketua Wanita Negeri serta sukarelawan yang sudi berkunjung ke Johor. Terima kasih juga kepada sukarelawan Wanita KEADILAN Johor yang menjayakan program ini," ujar beliau lagi.
Comentários