Ketua Pemuda Armada Bersatu sewajarnya memohon maaf bagi pihak presiden partinya dan bukan menegakkan 'benang basah' berhubung kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu terkait Yang di-Pertuan Agong.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Haziq Azfar berkata, tindakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyalahkan portal Suara Keadilan berhubung klip video ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah cubaan mengalihkan perhatian awam daripada kekhilafan yang dibuat oleh Presiden Bersatu itu.
"Jelas lagi bersuluh Tan Sri Muhyidddin bukan sekadar menyatakan fakta seperti didakwa tetapi mempertikaikan keputusan yang dibuat secara terang-terangan berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong
"Wan Fayhsal yang merupakan ketua sayap Pemuda Bersatu wajar menunjukkan teladan baik kepada anak muda dalam mempertahankan kebenaran dengan memohon maaf bagi pihak Presiden dan Bersatu, bukannya menegakkan benang yang basah," kata Haziq dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan melantik Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 sudah pasti mengambil kira Akta Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang telah berkuatkuasa pada waktu itu, serta kontrak perjanjian parti dan Ahli Parlimen terhadap sokongan parti secara en bloc atau keseluruhan.
Tambah Haziq, Bersatu sudah sekian lama menghuru harakan demokrasi di negara ini bermula dengan Langkah Sheraton dan kemudian selepas huru hara itu diperbaiki mereka memilih untuk 'playing the victim' apabila mereka tidak lagi boleh melakukan hal yang sama seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke 15.
Comments