Tindakan kerajaan Pas Kelantan yang mewajibkan pengusaha restoran untuk memohon pengesahan persijilan halal dianggap membebankan terutama kepada peniaga sektor kecil dan sederhana (PKS).
Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, tindakan terbabit tidak sejalan dengan dasar Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan polisi memohon pengesahan halal secara sukarela, juga boleh dianggap bertentangan dengan nilai 'ketidakpaksaan' dalam Islam.
"Keputusan ini bukan sahaja merugikan pengusaha-pengusaha kecil makanan yang berbilang kaum, tetapi juga membebankan rakyat Kelantan yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran ekonomi.
"Langkah ini cenderung untuk membebankan pengusaha kecil dan sederhana kerana mereka tidak memiliki modal yang cukup, pengetahuan yang terhad, serta pulangan lambat dalam kos persijilan hasil daripada pasaran mereka yang kecil," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Pengarah Komunikasi KEADILAN itu, sudah lebih 50 tahun Malaysia mengamalkan sistem di mana pengesahan halal dijalankan secara sukarela oleh pengusaha, dan hal ini terbukti tidak menjejaskan mutu makanan serta pembangunan industri halal negara.
"Malah, seperti yang dipetik dalam penggulangan perbahasan parlimen saya bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan, industri Halal kepada KDNK disasarkan mencapai 8.1%, bersamaan RM137.6 bilion pada tahun 2025. Ini satu kejayaan yang dibanggakan oleh negara-negara sedunia dan terbukti berkesan dengan pendekatan sebelum ini," katanya.
Justeru, Chean Chung melihat tindakan terbaharu Kerajaan Kelantan itu seolah olah lebih kepada mahu bertindak bertentangan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan, yang memberi kebebasan kepada pengusaha untuk membuat pilihan sama ada mahu mendapatkan sijil Halal atau tidak.
Sekiranya hal itu benar, kata beliau, Kerajaan Pas lebih cenderung mengenakan peraturan kepada pengusaha-pengusaha kecil namun memihak kepada syarikat balak dan perlombongan besar yang mencemarkan alam sekitar.
"Oleh itu, saya menyeru Kerajaan Kelantan menarik balik arahan yang kontroversi tersebut.
"Sebaliknya, Kerajaan Negeri harus memberi ruang kepada pengusaha untuk memilih tanpa paksaan, sekaligus membantu mengurangkan beban ekonomi yang sudah cukup berat dalam kalangan rakyat dan perniagaan kecil," katanya lagi.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan, dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, syarat persijilan halal yang sudah dikuatkuasakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan lain di negeri itu.
Katanya, pada masa sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) turut membuka peluang untuk mendapatkan sijil halal kepada industri kecil, perhotelan serta individu yang mengusahakan produk makanan serta minuman di rumah.
Berdasarkan laporan itu, Asri berkata sebanyak 453 premis telah mendapat sijil halal dari Januari hingga Disember tahun ini, di mana 198 daripadanya di Kota Bharu, manakala 255 lagi di kawasan lain.
Comments