Kerajaan mengambil langkah proaktif mengekang penularan kes cacar monyet (mpox) di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kerajaan sedang berhubung rapat dengan semua negara ASEAN bagi memantau kes cacar monyet (mpox) di negara-negara berkenaan selain bekerjasama dengan beberapa agensi lain untuk membuat ujian saringan di pintu masuk sempadan seperti di lapangan terbang dan laluan masuk negara lain.
"Setakat ini, proses yang dilakukan adalah sama seperti dilaksanakan ketika pandemik dahulu iaitu ujian saringan.
"Langkah berjaga-jaga diambil oleh semua agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terutama di pintu masuk dan sempadan negara.
"Jika terkesan sesuatu terutama di pintu masuk sempadan, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah mempunyai garis panduan mengenainya," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya hadir ke Majlis Perasmian The 34th Malaysia-Thailand Border Health Scientific Conference 2024 di George Town pada Selasa.
KKM sebelum ini menyatakan pihaknya akan pengukuhan aktiviti survelan dan advokasi berkaitan mpox termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.
Ini susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa-PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lepas.
Sementara itu menurut Lukanisma, setakat kini tiada jangkitan baharu mpox direkodkan oleh KKM.
Kerajaan jelasnya memantau rapi situasi jangkitan di Eropah dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) dan KKM akan memantau keadaan dari masa ke semasa.
Comments