Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sudah mengambil tindakan tatertib terhadap empat pegawainya termasuk seorang berpangkat ketua penolong pengarah setelah didapati cuai memasukkan gambar pemimpin politik dalam paparan video khutbah Jumaat di negeri itu pada minggu lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan termasuk memecat dan menukar pegawai itu diambil ekoran kecuaian tersebut yang menyebabkan timbul keresahan hingga menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri itu.
"JAIM secara tuntas sudah menjalankan siasatan dan didapati kejadian (paparan gambar seorang pemimpin pembangkang) memang benar berlaku dan mereka yang terbabit sudah mengaku meletakkan gambar pemimpin berkenaan.
"JAIM memohon maaf atas kesilapan beberapa pegawai yang menyiapkan paparan serta info grafik berkenaan dan tindakan tatatertib sudah diambil ke atas mereka termasuk memberhentikan dan menukar perjawatan mereka ke jabatan serta daerah lain.
"Ia satu kesilapan besar dan tindakan ke atas mereka adalah wajar. Saya harap tidak berlaku lagi selepas ini," katanya dipetik selepas menghadiri perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Al- Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam semalam.
Khutbah Jumaat minggu lalu mencetuskan perdebatan hangat apabila paparan dan info grafik khutbah dikendalikan JAIM yang disiarkan di papan layar di semua masjid itu memaparkan wajah Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Khutbah bertajuk 'Negaraku, Tanah Airku' itu disediakan Bahagian Pengurusan Masjid JAIM bersempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.
Wajah pemimpin pembangkang berkenaan diletakkan bersebelahan dengan sepotong ayat berbunyi "Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia'.
Dalam paparan berasingan, turut terdapat wajah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa digantikan dengan gambar Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Susulan itu, Pengarah JAIM Datuk Badaruddin Mohd Kassim dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu berkata pihaknya berasa kesal atas kejadian tersebut memohon maaf atas kekhilafan berkenaan.
"Adalah dimaklumkan bahawa berlaku ralat kepada infografik yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk edaran kepada masjid dan surau Jumaat di Negeri Melaka pada 20 September 2024," katanya.
JAIM telah menarik balik info grafik terbabit dengan serta-merta dan mengarahkan semua pengerusi masjid dan surau Jumaat untuk menurunkan, memadam dan tidak menyebarkan paparan berkenaan atau sebarang dokumen berkaitannya untuk apa-apa tujuan.
Comments