Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan MADANI yang diterajuinya menjadikan usaha membantu golongan miskin dan yang memerlukan sebagai keutamaan termasuk dengan meningkatkan bantuan kepada golongan tersebut.
Perdana Menteri berkata meskipun langkah itu bukan satu bentuk penyelesaian mutlak bagi mengatasi kemiskinan, ia penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat tidak dipinggirkan.
"Kita sanggup membelanjakan RM13 bilion untuk membantu M40 dan B40 menerusi STR [Sumbangan Tunai Rahmah] dan SARA [Sumbangan Asas Rahmah], bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
"Ya, ini bukan penyelesaian mutlak, tetapi langkah penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat tidak diabaikan.
"Usaha ini akan diteruskan dengan memperkukuh ekonomi, pendidikan serta membentuk rakyat dengan nilai dan akhlak yang mulia," katanya dipetik selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat di Taman Meru, Ipoh, Perak semalam.
Dalam ucapannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Islam menekankan hubungan solat dan zakat yang menunjukkan bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah tetapi pusat keprihatinan sosial dan keadilan ekonomi.
"Al-Quran sentiasa mengaitkan solat dan zakat. Kupasan Sheikh Yusuf al-Qaradawi menjelaskan hubung kait ini mencerminkan peranan zakat sebagai institusi penting dalam sistem ekonomi Islam, terutama dalam membela golongan miskin dan terpinggir," ujarnya.
Justeru itu Anwar berkata berdasarkan sejarah Islam, pertama kali peperangan diisytiharkan bukan kerana tanah, harta, atau kuasa tetapi bagi memerangi kelompok yang enggan membayar zakat, sekali gus melemahkan sistem sokongan kepada rakyat miskin.
"Ini menandakan betapa Islam menjulang tinggi kepentingan menegakkan keadilan sosial," jelas beliau yang kemudian
menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin, bersebelahan majlis kenduri itu.
Terdahulu Anwar turut menyantuni orang ramai di Warung Pokok Belacan dan mendengar sendiri pandangan dan perkara-perkara yang menjadi kerisauan rakyat.
留言