![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_981a753b47734dd0924844851aafba6b~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_452,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_981a753b47734dd0924844851aafba6b~mv2.jpg)
Pengusiran paksa rakyat Gaza dari tanah air untuk pembangunan semula oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) merupakan idea gila dan tidak masuk akal yang wajib ditentang.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa berkata, penindasan yang berlaku di Gaza pada waktu ini turut terasa sakitnya kepada umat Islam di Malaysia.
Oleh itu, Mustafa yang sedekad lalu pernah ditahan tentera Israel ketika cuba menghantar bantuan melalui jalan laut ke Gaza menyeru agar seluruh dunia Islam bersatu menentang idea Presiden AS, Donald Trump mengusir rakyat Palestin.
"Apa terjadi di Gaza membuat fikiran kita tidak tenteram. Lebih menyakitkan apabila Presiden Trump memberi cadangan mengalihkan secara paksaan, mengeluarkan saudara kita lebih 2 juta itu dari tanah air mereka, dan meletakkan di beberapa negara.
"Trump cuba membawa keluar rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan. Mesir tolak dan Jordan tolak.
"Jadi kita berharap dengan kenyataan Trump ini umat Islam seluruh dunia akan bersatu," katanya kepada pemberita di "Perhimpunan Bantah Pelan Trump Ambil Alih Gaza" petang tadi berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Beliau berharap penyelesaian yang lebih baik dapat dicapai dengan kekuatan dan penyatuan umat Islam seluruh dunia dan mendesak diaktifkan semula rundingan formula 'penyelesaian dua negara' Israel dan Palestin.
"Kita mesti pertahankan Palestin. Mereka berhak untuk merdeka, bebas seperti mana kita," katanya lagi.
Beliau juga membacakan ayat Ayat 10 Surah Al-Hujurat yang menyeru kepada seluruh umat Islam bersaudara dan berharap kemenangan akan berpihak kepada Palestin.
Comments