Oleh: Abdullah Zaid
Pihak berkuasa peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu bergabung tenaga bagi membanteras ajaran sesat yang kian menular dalam masyarakat.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata, hal itu susulan keputusan Mufti Perlis yang memfatwakan ajaran yang diamalkan oleh kumpulan GISB Holdings (GISBH) sebagai menyeleweng daripada agama Islam sebenar.
"Tindakan pihak berkuasa sama ada pihak berkuasa agama atau pihak berkuasa yang lain (ke atas GISBH) di setiap peringkat wajar disokong dan diberikan dokongan penuh untuk memastikan akidah dan amalan agama setiap individu muslim itu bersih daripada sebarang unsur yang jelas terlihat atau terbukti menyeleweng daripada ajaran Islam.
"Ia termasuklah juga segala aktiviti kelompok GISB yang memanipulasi ajaran agama untuk sesuatu yang di luar batas hukum syarak, peraturan dan undang-undang," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj menitahkan semua agensi mengambil tindakan segera terhadap kegiatan GISBH yang telah disisasat pihak polis sejak sebulan lalu berikutan serbuan di premis mereka yang terletak di Selangor, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang.
Titah baginda, kelewatan menangani isu tersebut menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan hingga menyebabkan masalah menjadi begitu serius serta tidak terkawal.
Baginda tidak mahu pihak berwajib diumpamakan sebagai 'tin kosong' yang hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya.
"Kita hendaklah berpegang kepada prinsip 'walk the talk or putting your words into action' (bertindak seperti apa yang dikata).
"Beta juga menyeru semua agensi penguat kuasa agama dan polis menjalankan penyiasatan dengan telus serta sentiasa memelihara integriti dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka," titah baginda dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, selain ajaran sesat, GISBH turut dikaitkan dengan penderaan terhadap pelajar, eksploitasi terhadap kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat di beberapa rumah amal dan sekolah agama Islam di bawah kendalian badan bebas itu.
コメント