Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggeri dinasihat agar tidak mengendahkan fatwa politik yang dikeluarkan oleh Pas seperti melabelkan DAP kafir harbi, istilah klasik Islam merujuk kepada golongan bukan Islam yang wajib diperangi.
Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, istilah yang dilontarkan seorang pemimpin Pas dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut boleh berubah sebagaimana ketika parti itu pernah tinggal 'sebumbung' dalam satu pakatan dengan DAP sebelum ini.
"Dua kali pilihanraya Pas bersama DAP (iaitu) pada PRU 2008 dan 2013, Lim Guan Eng juga pernah dipuji seakan Umar Abdul Aziz. Pada 2008 juga berapa ramai wanita DAP pakai baju Nik Aziz (bekas Mursyidul Am Pas) dan ramai juga pemimpin Pas pakai baju dan topi roket, ketika itu tiada masalah.
"Kemudian 2015 bercerai dengan DAP dan Keadilan ...Mungkin tahun depan (mereka akan kata) kita berkawan dengan DAP satu rahmat kepada Allah," katanya dipetik ketika berucap pada majlis ceramah kelompok di Sungai Asap, Gua Musang malam tadi.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengingatkan pengundi yang beragama Islam agar tidak terpedaya dengan retorik politik Pas, sebaliknya berpegang kepada prinsip-prinsip agama yang tetap.
"Fatwa yang patut kita pegang, seperti sembahyang (solat), puasa di bulan Ramadan, jangan minum arak, membayar zakat, mengerjakan umrah.
"Anggaplah ‘dengar telinga kanan, keluar telinga kiri’, fatwa-fatwa ini (politik) jangan ambil berat. Fatwa ini akan berubah setiap kali pilihanraya, janganlah pegang fatwa ini kerana ia hanya angin lalu mengikut musim dan keadaan," katanya.
PRK DUN Nenggiri pada Sabtu ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail.
Comments