Oleh: Hassan Abdul Karim
ULASAN: Tidak boleh tunggu sehingga bulan September barulah Undi Percaya hendak dibentangkan di Dewan Rakyat. Isu sokongan majoriti di bawah Perkara 43(2) (a) dan tiada kepercayaan majoriti di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah isu Perlembagaan amat penting yang perlu diselesaikan dengan sesegera mungkin.
Perdana Menteri yang tidak ada keabsahan tidak ada hak untuk memegang jawatan Ketua Eksekutif walau sehari pun.Apatah lagi lebih sebulan menjelang bulan September depan. Persidangan Penggal keempat Parlimen ke-14 akan bermula dari 6 September hingga 30 September.
Tidak ada pengumuman tarikh bilakah usul Undi Percaya itu akan dibentang, dibahas dan diputuskan. Hanya disebut dalam bulan September. 30 September juga dalam bulan September. Jika usul Undi Percaya itu dibentang hujung September, maka ia bermakna hampir dua bulan dari hari Rabu 4 Ogos 2021, di mana Perdana Menteri Mahiaddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong.
Dengan rekod Perdana Menteri sekarang serta Kerajaan Perikatan Nasional, apakah janji pembentangan usul Undi Percaya pada bulan September depan tidak dimungkiri? Apa janji Parlimen tidak ditutup lagi?
Panggil sidang khas Parlimen Undi Percaya
Jadi, tuntutan Ahli-ahli Parlimen pembangkang dari semua parti dan individu menuntut supaya Undi Percaya terhadap Perdana Menteri itu dilakukan sesegera mungkin adalah amat wajar dan patut.
Peraturan Mesyuarat 11(3) Dewan Rakyat membenarkan persidangan dibuat dengan segera bagi faedah orang ramai. Orang ramai itu bermaksud rakyat Malaysia. Sekarang Parlimen sedang dalam tangguhan. Ini menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) juga.
Jika Yang di-Pertuan Agong mengambil masa yang cepat ketika melantik Perdana Menteri Mahiaddin Yassin di bawah Perkara 43(2)(a) sebaik sahaja Baginda pada hematnya berpendapat mungkin YB Pagoh mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka begitulah sepatutnya penentuan yang cepat dilakukan ke atas kemungkinan Perdana Menteri yang sama tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti di bawah Perkara 43(4). Usul kepercayaan perlu ditentukan dengan segera di Dewan Rakyat.
Selain daripada itu, Yang di-Pertuan Agong tidak mengambil masa selama sebulan untuk melantik Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri maka kerana itu tidaklah berperlembagaan membiarkan Mahiaddin Yassin terus memegang jawatan Perdana Menteri ketika telah wujud elemen yang relevan di mana kemungkinan Perdana Menteri telah kehilangan majoriti sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong menerima surat daripada Presiden Umno bahawa 8 orang Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Mahiaddin Yassin.
PM telah hilang majoriti
Tindakan Yang di-Pertuan Agong memanggil Perdana Menteri mengadap Baginda di Istana Negara pada 4 Ogos 2021 berkaitan isu majoriti kepercayaan adalah jelas berbangkit satu isu Perlembagaan yang penting, iaitu kemungkinan Perdana Menteri Mahiaddin Yassin telah kehilangan majoriti. Isu perlembagaan ini melibatkan isu kuasa Eksekutif, iaitu satu institusi penting dalam Kerajaan Yang di-Pertuan Agong. Tidak boleh isu kuasa Eksekutif ini dilengah-lengahkan.
Kita perlu menyedari bahawa di bawah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, Yang di-Pertuan Agong hanya mempunyai kuasa budibicara di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tetapi Yang di-Pertuan Agong tidak ada kuasa untuk memecat atau menamatkan jawatan Perdana Menteri.
Justeru itu, usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri mesti sesegera yang mungkin dibentangkan di Dewan Rakyat. Hanya Dewan Rakyat yang ada kuasa untuk melucutkan jawatan seseorang Perdana Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang
Comentarios