![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_aaeaef23707c499a81539682dca6c321~mv2.jpg/v1/fill/w_720,h_445,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_aaeaef23707c499a81539682dca6c321~mv2.jpg)
Umat Islam di negara ini diseru agar berganding bahu dan bekerjasama dalam meringankan beban yang sedang ditanggung rakyat Palestin di Gaza dengan mendukung usaha kerajaan untuk membangunkan semula wilayah tersebut, demikian menurut khutbah yang dibacakan di seluruh masjid dan surau-surau Jumaat di Wilayah Persekutuan hari ini.
Menurut khatib, iltizam dalam membangun semula Gaza merupakan jihad penyatuan ummah tanpa mengira perbezaan pandangan, mazhab atau pendirian politik selaras dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 15 berkaitan dengan kewajipan umat Islam berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah sebagai tanda keimanan yang sebenar.
"Sesungguhnya umat Islam adalah bersaudara. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk sentiasa peka, bersikap peduli dan bertolongan antara sesama muslim bersandarkan semangat persaudaan umat Islam," kata khutbah yang bertajuk "Persaudaraan Ummah Demi Kesejahteraan Gaza".
Jelasnya Malaysia yang dari dahulu konsisten dan terkedepan dalam usaha membela nasib dan perjuangan rakyat Palestin telah mengumumkan hasrat dan komitmen untuk bergandingan dengan Jepun serta negara-negara lain di peringkat antarabangsa dalam inisiatif pembangunan semula Gaza.
Khatib berkata kerajaan berhasrat untuk menyumbang bagi pembinaan sekolah, hospital dan masjid di Gaza sebagai langkah awal untuk membantu mengatasi beban dan krisis kemanusiaan yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin ketika ini.
Jelasnya program bantuan bagi pembangunan sekolah, hospital dan masjid ini memerlukan penglibatan dan sokongan dari seluruh rakyat Malaysia termasuk agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan.
"Seluruh umat Islam dianjurkan dan digalakkan turut bersama bersolidariti menerusi program pembangunan Gaza ini sebagai satu bentuk penterjemahan semangat persaudaraan dan kesatuan ummah Islamiyah," katanya sambil menambah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyelaraskan sumbangan oleh umat Islam di negara ini bagi menjayakan aspirasi kerajaan menerusi program yang amat mulia ini.
Perang antara Hamas dan tentera Israel di Gaza yang tercetus sejak Oktober 2023 telah mengorbankan seramai 46,000 nyawa selain jutaan penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain kemusnahan besar melanda wilayah itu sehingga ia dianggap sebagai genosid terbesar.
Konflik itu reda seketika apabila kedua-dua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata pada 19 Januari lalu.
Kekejaman rejim Zionis terhadap Gaza amat dahsyat, pilu dan menyayat hati dengan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB pada 28 Januari lalu menyatakan sebanyak 69% peratus struktur bangunan di seluruh Gaza telah musnah, kata khutbah itu.
Dalam aspek pendidikan, sebanyak 88% peratus iaitu 496 daripada 564 buah sekolah dan 51 buah universiti di Gaza musnah dan memerlukan pembinaan semula sepenuhnya atau pemulihan besar.
Bagi sektor kesihatan, badan PBB itu turut melaporkan bahawa sebanyak 50% peratus iaitu 18 daripada 36 buah hospital di Gaza hanya dapat berfungsi sebahagian, manakala 11 buah hospital lapangan berfungsi, termasuk lapan secara penuh dan 49 sebahagian.
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin pula melaporkan bahawa sebanyak 815 buah masjid di Gaza telah musnah sepenuhnya dan 151 buah rosak sebahagiannya.
"Sebagai sebuah keluarga besar ummah Islamiyah, kita mesti mengambil tahu dan meningkatkan rasa peduli terhadap perkembangan dan situasi yang terjadi dalam kehidupan umat Islam di seluruh dunia khususnya permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam di Gaza mutakhir ini," pesan khatib.
Khatib berkata konsep persaudaraan ummah Islamiyah merupakan salah satu ajaran Islam yang paling utama tanpa mengira asal-usul keturunan, warna kulit dan lokasi daerah geografinya.
"Semangat persaudaraan ummah yang diterapkan oleh ajaran Islam ini mengandungi makna yang amat besar dan ia boleh diumpamakan seperti sebuah Keluarga Ummah yang besar.
"Sebagai sebuah keluarga besar, ummah Islamiyah mestilah saling mengambil tahu, berkepedulian dan saling membantu serta bertolongan antara satu dengan lain sepanjang menjalani kehidupan dan membina ketamadunan ummah di dunia ini," ujarnya.
Kommentare