Ulang tahun ke-26: KEADILAN akan terus bawa islah, kebaikan - Fahmi
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan terus berusaha membawa islah untuk membina masa depan yang lebih baik untuk bangsa dan negara.
Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau berharap KEADILAN dan Kerajaan MADANI akan lebih kukuh supaya usaha untuk membawa kebaikan itu akan dapat diteruskan bersama rakan-rakan seperjuangan lain terutama dalam Pakatan Harapan (PH).
"Dari jalan raya, melalui pilihanraya, hinggalah ke Putrajaya, KEADILAN bersama rakan-rakan seperjuangan di dalam Pakatan Harapan dan kini Kerajaan MADANI akan terus berusaha membawa islah dan memperbaiki keadaan.
"Hari bersejarah ini menyaksikan 26 tahun lahirnya sebuah parti KEADILAN yang membawa obor reformasi, mengangkat martabat rakyat, dan membina sebuah negara yang lebih baik dan adil untuk semua," katanya menerusi muat naik di Facebooknya.
Harapan itu dinyatakan bersempena sambutan ulang tahun ke-26 KEADILAN.
Menerusi kenyataan sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua anggota, pimpinan serta penyokong parti itu atas kesabaran, ketabahan, idealisme yang tidak luntur, dan kesetiaan dalam perjuangan.
Sementara itu KEADILAN menerusi laman web rasmi parti itu turut merakamkan penghargaan kepada ahli parti dan penyokong parti itu yang telah menempuhi cabaran sepanjang parti itu ditubuhkan.
Menurut parti itu, semua pemimpin, ahli dan penyokong telah membuktikan bahawa perjuangan untuk keadilan dan kebajikan rakyat tidak akan pernah padam.
"Keadilan adalah hak setiap individu, dan bersama, kita akan membinanya demi generasi akan datang.
"Marilah kita terus bersatu, mengangkat suara rakyat, dan berusaha tanpa henti ke arah Malaysia yang lebih baik. Teruskan perjuangan kita," kata kenyataan tersebut.
Comments