
Oleh: Akmal Manaf
Figura politik tanah air, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat pujian terutamanya daripada barisan kabinetnya atas ketokohan dimiliki pemimpin berusia 77 tahun itu.
Kali ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan memuji Presiden KEADILAN itu terkait ucaptamanya pada Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di hadapan ratusan ulama dari seluruh dunia yang berlangsung kelmarin.
Ujar Dr Zulkifli, meskipun Datuk Seri Anwar bukan seorang ulama, namun para ulama bertaraf dunia memberikan penghormatan yang tinggi kepada beliau.
"Alhamdulillah, PMX (Datuk Seri Anwar) diberi penghormatan sebagai satu-satunya pemimpin utama negara yang dijemput berucap dalam persidangan di hadapan ratusan alim ulama dunia yang berhimpun di Bahrain.
"PMX berbicara mengenai masa depan ummah, keperluan menghentikan isu perbezaan aliran dan manhaj termasuk peri pentingnya untuk memberi tumpuan kepada perkara lebih penting dan mendesak seperti perkembangan dunia teknologi, Kecerdasan Buatan (AI) dan Peralihan Tenaga
"PMX turut menyebut sejarah Islam La Convivencia di Andalus yang mewujudkan 'peaceful co-existence' meraikan kepelbagaian dalam membina tamadun," katanya dalam muat naik di Facebooknya.
Menurut Dr Zulkifli lagi, Ahli Parlimen Tambun itu juga tidak pernah lupa untuk membangkitkan isu kemanusiaan dan ummah khususnya tentang Palestin.
"Inilah kelebihan yang beliau miliki dan kesediaan menimba ilmu serta berkongsi sebanyak mungkin ilmu demi kemaslahatan bersama.
"Mesej yang disampaikan juga sangat signifikan iaitu menyentuh hal ehwal dan masa depan ummah," tulis beliau mengakhiri catatannya itu.
Untuk rekod, Dr Zulkifli turut serta dalam rombongan lawatan rasmi PM di Bahrain selama dua hari berakhir semalam.
Comentarios