Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan akan berusaha memudahkan permohonan dana Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF).
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) dalam hal itu akan meneliti semula kaedah terutama untuk memudahkan Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan mendapatkan geran NCTF terbabit.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata demikian dalam sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat dan menjelaskan pihaknya mempunyai dana tersebut namun didapati tidak banyak pihak yang memanfaatkannya.
''Jadi saya ambil maklum dan kita akan cuba lihat dahulu bagaimana kita dapat memudahkan akses dan pada masa sama kita dapat mengisi semula sumbangan.
''Tidak silap saya, kita terima awal (dana) daripada Kementerian Kewangan (MOF) ketika penubuhan NCTF.
''Kemudian kita dapat (dana) daripada pihak swasta tetapi dalam masa sama, kalau kita nak kutip sahaja tapi aksesnya susah, itu juga tidak membantu.
''Sepatutnya wang yang ada ini dapat diakses oleh universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan Kerajaan Negeri yang turut serta dalam konservasi,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu apakah inisiatif yang telah diambil bagi memudahkan pihak Kerajaan Negeri mendapatkan geran NCTF.
Comments