Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memfailkan permohonan ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan bayaran bon bekas Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin kepada parti itu.
Peguam Navpreet Singh dipetik laporan Bernama berkata, parti itu telah mengemukakan permohonan pada 8 Jan lepas dan notis usul diserahkan kepada peguam Zuraida.
"Pengurusan kes ditetapkan pada 10 Februari ini," katanya.
Pada September 2020, KEADILAN menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika itu memfailkan tuntutan RM10 juta daripada Zuraida atas dakwaan melanggar syarat bon susulan tindakannya menyertai Bersatu berikutan Langkah Sheraton pada akhir Februari 2020.
Dalam terma dan syarat bon, antara lain Zuraida dikehendaki membayar RM10 juta kepada parti itu dalam tempoh tujuh hari sekiranya berlaku beberapa kejadian selepas memenangi pilihanraya atas tiket KEADILAN termasuk jika beliau meletak jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat Bebas.
Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat. Sehubungan itu mengarahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada parti itu.
Bagaimanapun Pada 11 Dis tahun lalu, panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk See Mee Chun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Zuraida melanggar syarat bon parti, namun mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.
Comments