
Mainan sentimen agama berkaitan isu pemindahan sebuah kuil di Kuala Lumpur yang kemudian dikaitkan dengan krisis di Gaza adalah percubaan membawa persepsi yang sangat bahaya.
Pengerusi Bersama Muktamar Masjid Semalaysia untuk al-Aqsa dan Palestin (MM4AP), Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang berkata, tindakan didalangi pihak tertentu itu yang memperalatkan agama demi kepentingan politik adalah tidak wajar kerana boleh mengancam keharmonian kaum di negara ini.
Menganggap pihak yang bertindak sebegitu adalah sesuatu yang dimaklumi, Ahmad berkata, pendekatan tidak bermaruah sebegitu wajar segera dihentikan.
"Kita tahu ini semua permainan (politik).
"Tak kira siapa saja, apabila memainkan sentimen agama, maka ini adalah bahaya," katanya dipetik.
Ahmad Awang ditemui pemberita pada Selasa selepas mengadakan kunjungan ke atas Ketua Biskop Kuala Lumpur, Julian Leow yang menyatakan solidaritinya kepada nasib penduduk Palestin.
Beliau diminta mengulas tindakan pihak tertentu yang dilihat dengan sengaja cuba mencetuskan ketegangan di antara penganut Islam dan Hindu berhubung isu keberadaan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.
"Semua pihak wajar berusaha mewujudkan hubungan yang baik di sebalik latar belakang dan kepercayaan yang berbeza di negara ini.
"Semua agama mahukan kedamaian namun pada masa sama wujud pihak tertentu yang mahu orang ramai berbalah.
"Terutama apabila isu-isu agama dimainkan oleh parti politik yang ingin mencari kepentingan mereka tanpa memikirkan akibatnya yang membawa perpecahan dan permusuhan," tambah Penasihat Umum parti Amanah itu.
Untuk rekod, pihak pengurusan kuil telah menyatakan persetujuan untuk berpindah ke lokasi lain selepas mereka berunding dan mencapai persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selaku pihak berkuasa tempatan.
Comentários