Tun Abdullah selamat disemadi, PM sertai rakyat beri penghormatan
- Suara Keadilan
- 19 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai ribuan orang ramai hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang selamat dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Jenazah Perdana Menteri kelima itu selamat disemadikan pada pukul 2.30 petang mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Pengebumian Allahyarham Tun Abdullah kemudian disempurnakan dengan bacaan tahlil serta talkin dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.
Selain balu Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, turut hadir pada upacara pengebumian itu ialah anak Allahyarham, iaitu Tan Sri Kamaluddin serta Nori, dan suaminya Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Kesihatan dan beberapa ahli keluarga terdekat.
Selepas itu, Anwar dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof diberi penghormatan untuk menyiram air mawar dan menabur bunga di pusara Allahyarham Tun Abdullah.
Terdahulu Perdana Menteri tiba di dewan solat utama Masjid Negara kira-kira pukul 1 tengah hari, diiringi beberapa Menteri Kabinet antaranya Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Perdana Menteri turut meluangkan masa bertemu ahli keluarga Allahyarham.
Tun Abdullah, 85, yang turut lebih dikenali sebagai "Pak Lah" menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi, demikian dimaklumkan Khairy dalam kenyataan.
IJN dalam satu kenyataan memberitahu negarawan itu dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.
Terdahulu Anwar menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat jenazah buat Allahyarham Tun Abdullah Ahmad sejurus selesai solat zuhur di Masjid Negara.
Jenazah Tun Abdullah kemudiannya diusung keluar dari dewan solat utama Masjid Negara menggunakan keranda yang dilitupi Jalur Gemilang, oleh kumpulan pengusung terdiri daripada pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan polis, untuk dibawa ke Makam Pahlawan dan disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam tadi.
Terdahulu, penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdullah di Masjid Negara bermula pada 10 pagi hingga 1 tengah hari yang dihadiri lapisan pemimpin dan anggota masyarakat.
Turut hadir memberi penghormatan ialah Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong yang juga bekas perdana menteri republik itu selain wakil kedutaan asing.
Comments