Tun Abdullah berhati mulia, berintegriti tinggi - PM Anwar
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada Isnin.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Anwar menyifatkan Allahyarham — yang lebih dikenali sebagai Pak Lah — sebagai seorang pemimpin berintegriti tinggi, berhati mulia dan membawa nafas baharu dalam landskap politik negara.
"Pak Lah bukan sekadar seorang pemimpin, tetapi seorang negarawan berhati besar yang memperkenalkan naratif politik baharu berteraskan nilai dan kelembutan," ujar Anwar.
Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85 tahun, menghembuskan nafas terakhirnya ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara KL kira-kira 7.10 petang semalam.
Berita pemergiannya disampaikan sendiri menantunya, Khairy Jamaludin Abu Bakar melalui satu hantaran di Instagram Story.
Sementara itu Anwar menerusi kenyataannya memuji kepimpinan Pak Lah yang banyak menekankan nilai kasih sayang dan dedikasi kepada negara, termasuk menerusi pembaharuan institusi kehakiman, ketelusan dalam tadbir urus serta pengukuhan institusi awam.
Anwar turut menghargai usaha Allahyarham memperluaskan keterlibatan rakyat melalui kebebasan media dan pemerkasaan komuniti luar bandar menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan.
"Pendekatan Islam Hadhari yang dibawa Pak Lah berjaya menyatukan pembangunan dan kemajuan dengan nilai kemanusiaan.
"Lebih dari segalanya, Pak Lah mengajar kita makna kemanusiaan dalam kepimpinan. Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, beliau kekal tenang dan tidak pernah memilih untuk berdendam," kata Anwar sambil mengimbas sokongan Pak Lah pada saat beliau sendiri berdepan kesukaran.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, menantu beliau Khairy Jamaluddin, serta seluruh keluarga.
"Seluruh negara berkabung atas kehilangan seorang negarawan tulen. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh," kata Anwar menutup kenyataannya.
Comments