Keluarga tujuh beranak menjadikan kereta Perodua Bezza sebagai tempat berteduh yang dibantu seorang Menteri baru baru ini merupakan penerima Skim Kewangan Bulanan Zakat Pulau Pinang (ZPP), demikian kata Kerajaan Negeri.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (gambar atas) berkata, keluarga tersebut juga merupakan penerima dana agihan Skim Kewangan Sekaligus.
"Selain skim berkenaan, ZPP telah membantu keluarga tersebut dengan membayar kos deposit sewaan rumah dan mereka juga sering hadir ke ZPP untuk mendapatkan bantuan kecemasan," katanya dalam kenyataan semalam.
Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, MAINPP melalui ZPP sentiasa prihatin tentang keperluan asnaf di negeri itu.
"Bagi kes ini, ZPP akan memantau perkembangan keluarga ini dari semasa ke semasa sekiranya terdapat keperluan lain yang diperlukan," katanya.
Beliau mengulas hantaran Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dalam media sosial mengenai sebuah keluarga tujuh beranak berasal dari Kelantan yang menjadikan kereta Perodua Bezza sebagai tempat berteduh.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu menyatakan lelaki yang dikenali sebagai Hilmi mendakwa dia sekeluarga sudah tertipu dengan pemilik rumah sewa yang memaksa mereka sekeluarga keluar dari kediaman itu. Sedangkan katanya, dia telah membayar wang deposit.
Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa melepaskan kerja sebagai pemandu lori yang memerlukan dia meninggalkan keluarganya di dalam kereta tersebut.
Akibat kesempitan hidup, dua orang anak lelaki keluarga itu terpaksa berhenti sekolah.
Steven berkata, pihaknya akan menanggung kes sewa rumah baharu selama setahun dan berjaya mencarikan kerja sebagai pemandu lori kepada lelaki tersebut bagi membolehkan dia sekeluarga membina semula kehidupan.
Comments