
Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek telah membuktikan kemampuannya mengalas amanah memimpin sayap parti itu sepanjang sesi 2022 - 2025.
Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Rozana Zainal Abidin berkata, sepanjang tempoh kepimpinannya Ahli Parlimen Nibong Tebal tersebut telah menonjolkan gaya kepimpinan yang berkarismatik dan telah melakukan perubahan serta penambahbaik yang menyegarkan buat Wanita KEADILAN.
"Imbas kembali pasca PRU-15. Wanita pertama yang menjadi Menteri Pendidikan adalah Fadhlina yang juga merupakan Ketua Wanita KEADILAN Pusat.
"Ini bukan tugas mudah tetapi beliau telah mampu menggalasnya dengan baik dan cemerlang.
"Ada banyak perubahan dan penambahbaikan sistem pendidikan (sebagai Menteri Pendidikan) yang dilakukan secara tersusun. Sudah pasti gaya serta langkah Fadhlina adalah suatu cerminan kepada organisasi Wanita KEADILAN," kata Rozana yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri, Permatang, Selangor dalam kenyataan hari ini.
KEADILAN akan melaksanakan pemilihan bagi sesi 2025-2028 yang dijadual berlangsung pada 24 Mei ini melibatkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Pusat.
Bagi pemilihan jawatan di peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Cabang pula ditetapkan pada 11 April 2025 hingga 20 April 2025.
Gadingan muka baharu-lama sebagai pengimbang
Mengulas lanjut, ujar Rozana, Fadhlina telah menggunakan pengalamannya sebagai aktivis masyarakat dan pengamal undang-undang dalam merangka penambahbaikan serta menyusun semula Wanita KEADILAN ke arah yang lebih dinamik.

"Pergerakan Wanita KEADILAN telah disegarkan dengan penampilan muka-muka baharu dengan gabungan muka-muka lama sebagai pengimbang.
"Sistem ASAK telah dibuat bagi mengurus tadbir Wanita KEADILAN serta cakna digital. Latihan Wanita telah diperhebat dengan memperkukuhkan Wanita Cabang dan Ranting serta menghantar wanita dalam semua siri pilihanraya," katanya.
Sebagai rujukan, ASAK atau Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan adalah satu inisiatif Wanita KEADILAN untuk mengorak langkah ke arah pendigitalan bagi menyahut aspirasi Kerajaan Madani dalam menggapai matlamat pembangunan mampan.
ASAK juga adalah usaha untuk memperkasakan kemahiran Wanita KEADILAN dalam literasi digital dan meningkatkan daya saing mereka ketika negara menempuh era kepesatan ekonomi digital masa kini serta ke arah negara berpendapatan tinggi.
Mengulas lanjut, Rozana berkata, bantuan-bantuan sosial kepada anggota Wanita juga diberikan dalam siri ziarah dan jelajah yang dilaksanakan oleh Fadhlina selaku Ketua Wanita Pusat, dan diberikan kepada anggota KEADILAN tanpa mengira arah sokongan kepada kem mana pada pemilihan lepas.
Kepimpinan merangkul semua kelompok wanita
Tambah Rozana, daya kepemimpinan Fadhlina yang merangkul semua kelompok wanita itu merupakan aspirasi besar buat negara serta Kerajaan Madani yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sosok Fadhlina mampu merapatkan hubungan pelbagai pihak baik lawan dan kawan. Tidak mengira latar belakang apa pun, tidak mengira di mana atau siapapun pasti beliau akan santuni seluhurnya.
"Terbukti, bukan semua sosok mampu melakukannya tetapi gaya kepemimpinan ini ada pada Fadhlina dan negara memerlukan sosok ini serta anggota wanita perlukan agen pemersatu sebegini," katanya.
Selain itu kata beliau, Fadhlina turut mengamalkan politik matang dan menggalakkan perpaduan dalam kalangan anggota Wanita KEADILAN dalam semua peringkat hierarki.
"Ini tanda kebesaran jiwa Fadhlina selaku Ketua Wanita Pusat yang ada daya nakhoda kapal yang memayungi sama rata.
"Peringatan yang selalu beliau berikan, ditekankan dan diingatkan kepada setiap anggota wanita adalah sentiasa menunjukkan syiar KEADILAN dan kekuatan yang ada pada diri wanita itu sendiri sebagai pimpinan dan tidak memburuk burukkan di antara satu sama lain.
"Tambahan pula dalam pemilihan parti yang bakal menjelang pada bulan Mei ini," kata Rozana lagi.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, bukan pendirian rasmi Suara Keadilan
Comments