
Tuduhan di media sosial kononnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pernah mengeluarkan kenyataan jangan mempersoalkan kuasa beliau meluluskan kewarganegaraan kepada pendatang dari China adalah fitnah jahat.
Dalam penjelasan beliau hari ini, Saifuddin berkata, isu kewarganegaraan tersebut ditimbulkan oleh laskar siber di media sosial dan beliau telah menjawabnya dengan terperinci dan beberapa kali.
Sehubungan itu, Saifuddin menafikan tuduhan terbaharu pada poster di media sosial yang mendakwa beliau berkuasa penuh meluluskan kerakyatan kepada warga China.

"Kenyataan ini adalah fitnah. Kelulusan kewarganegaraan adalah tertakluk peruntukan oleh Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub sejak sekian lama dan saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dalam gambar (poster) fitnah tersebut.
"Sepanjang tahun lepas, saya telah banyak memberikan penjelasan tentang isu kewarganegaraan ini. Namun masih ada lagi pihak yang membuat fitnah dengan permainan sentimen yang berbaur 3R.
"Perbuatan yang tidak bertanggujawab ini sangat bahaya, ianya mampu mengganggu gugat keselamatan dan keamanan rakyat di dalam negara," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Saifuddin menggesa agar rakyat dan netizen mendapatkan maklumat daripada sumber yang betul dan tepat serta mengesahkan terlebih dahulu sebelum berkongsi maklumat berkenaan.
"Saya ingatkan juga bahawa menularkan fitnah dan berita palsu ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang," ujarnya lagi.
Dalam kenyataan itu, beliau turut memberikan pautan kenyataannya sebelum ini yang boleh diakses di media sosial berhubung isu kewarganegaraan.
Antaranya penjelasan di Dewan Rakyat pada tahun lalu mengenai "1.2 juta pelancong China yang masuk Malaysia dan tidak keluar".
Menurut Saifuddin perkara tersebut juga pernah dibangkitkan di Parlimen sekitar tahun 2022, dan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kini Ahli Parlimen Larut. Kata Saifuddin, Hamzah pada waktu itu telah mengeluarkan kenyataan media bahawa ianya tidak betul.
Menunjukkan, katanya, Menteri Dalam Negeri dari kerajaan berbeza telah pun mengesahkan fakta yang sama bahawa tidak pernah berlaku sebahagian besar pelancong warga China tidak keluar dari Malaysia dan diberi kerakyatan.
Justeru beliau berharap agar fitnah mengenai 1.2 juta pelancong China yang tidak keluar itu dihentikan sepenuhnya.
Comments