Oleh: Abdullah Zaid
Dakwaan pembangkang Perikatan Nasional (PN) kononnya terdapat rakyat yang mati kelaparan kerana tiada bekalan beras sama sekali tidak berasas.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor Mohamad Taufiq Ismail berkata, tuduhan pemimpin pembangkang itu dipercayai cuba mengaitkan kes kematian dua beranak Orang Kurang Upaya (OKU) di Johor baru-baru ini yang disyaki akibat kelaparan. Namun, katanya, hal itu tidak perlu dijadikan isu politik memandangkan ianya kes terpencil.
"Sudah hampir tiada isu untuk dimainkan sehingga mengaitkan kematian tersebut dengan punca tidak mampu membeli beras dan menyalahkan kerajaan seratus peratus.
"Insiden (kematian) ini perlu siasat terlebih dahulu dan pihak berkuasa juga masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi.
Malah menurut Taufiq, aktivis PN tersebut tidak sepatutnya mempolitikkan isu kekurangan beras atau makanan memandangkan kerajaan melalui pelbagai agensi telah memberi bantuan terus kepada mereka yang memerlukan.
"Saya juga fikir sekiranya si mati merupakan asnaf dan miskin tegar, namanya semestinya dikelaskan dalam penerima bantuan e-kasih oleh Pejabat Daerah, dan tidak akan tercicir dari menerima sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun agensi kerajaan yang berkenaan," katanya lagi.
Terdahulu, pemimpin Pas Melaka dilaporkan memuat naik hantaran menerusi aplikasi X yang menyentuh situasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ketika itu, dakwanya, beras tempatan boleh diperolehi dan tiada sesiapa mati akibat kelaparan.
Namun ciapan berkenaan mendapat reaksi pelbagai pihak yang mengimbau fasa itu sebagai duka ekoran masalah kekurangan sumber makanan sehingga mendorong gerakan kempen ‘bendera putih’ bagi memberi isyarat pihak yang terdesak dan perlukan bantuan asas.
Dalam pada itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli turut memberi maklum balas berkenaan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai melampau dan kurang cerdik.
"Mesej aktivis Pas ini ialah rakyat sedang mati kelaparan sebab tiada beras. Sementara usaha menoktahkan miskin tegar terus berjalan dan lebih baik dari yang diusahakan Perikatan Nasional (PN).
"Membuat tuduhan rakyat sedang mati kelaparan sebab tiada beras ini sama ada (1) melampau atau (2) kurang cerdik," katanya menerusi hantaran di X.
Comentarios