Kritikan peguam terkemuka Datuk Ambiga Sreenevasan bahawa Kerajaan Madani bersikap diktator serta menghalang kebebasan bersuara dalam hal mahu melesenkan platform media sosial dibidas Ahli Parlimen Pasir Gudang.
Hassan Abdul Karim berkata, meskipun Ambiga dihormati dalam kerjaya perundangannya namun hal itu tidak membenarkan beliau menuduh Kerajaan yang cuba melindungi rakyat biasa daripada jenayah siber sebagai diktator.
"Saya menghormati Ambiga, mantan pimpinan NGO Bersih dan mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia.
"(Namun) saya nak menyangkal tuduhan Ambiga kerana tuduhan itu salah.
"Cadangan kerajaan untuk mengenakan syarat, syarikat-syarikat platform media sosial dari luar negara perlu ambil lesen mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia boleh dibantah, boleh dipertikai dan boleh disanggah semahunya. Tetapi menuduh Kerajaan Persekutuan terus jadi diktator kerana cadangan itu, adalah berlebihan dan tidak adil.
"Saya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat yang menyokong Kerajaan Persekutuan sekarang, walaupun sedar kerajaan ini ada kelemahannya di sana sini, amat yakin bahawa kerajaan ini bukanlah kerajaan diktator," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hassan, beliau yang berjuang dalam kerangka demokrasi sejak puluhan tahun lalu tidak menemui sikap diktator dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, berbanding kerajaan Perikatan Nasional (2020 - 2022) yang pernah mengisytiharkan darurat dan menggantung parlimen, Kerajaan Madani tidak pernah berbuat demikian.
Sebaliknya, kata beliau, laporan atau dokumen penting negara dibahaskan di Dewan Rakyat secara sewajarnya biarpun tidak menguntungkan kerajaan memerintah.
"Bagaimana kerajaan pimpinan Anwar ini diktator sedangkan di Parlimen Laporan Suhakam dibahaskan? Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Jawatankuasa Kewangan Negara (PAC) Parlimen dibahaskan secara terbuka?
"Bagaimana Kerajaan Persekutuan sekarang jadi diktator sedangkan tiga minggu lalu pada 6 Julai calon yang mewakili parti Kerajaan Persekutuan kalah teruk di PRK Sungai Bakap?
"Adakah kerajaan diktator benarkan berlaku calon partinya kalah teruk macam di PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang dan kalah sebelum itu di PRK Kemaman, Terengganu," katanya lagi.
Justeru, Hassan meminta Ambiga agar perpada pada dalam mengkritik dan tidak sampai mendakwa Kerajaan Madani sebagai diktator.
Katanya, kritikan boleh memperbaiki kelemahan kerajaan tetapi dakwaan diktator adalah berlebihan.
Comentarios