Tubuh Petroleum Terengganu hanya gimik, akta tidak memihak T'ganu - Azan
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 2 min read

Tindakan Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengurus sendiri hasil petroleum dengan menubuhkan sebuah syarikat mungkin dinamakan 'Petroleum Terengganu' didakwa hanyalah dalih untuk menguatkan kembali sokongan rakyat yang mula mempertikaikan kelemahan pemerintahan kerajaan Pas.
Menurut ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Azan Ismail, negeri Terengganu tidak mungkin memperolehi hasil petroleum dengan akta yang sedia wujud sekarang.
Katanya, cara paling mudah untuk negeri itu memperolehi royalti minyak ialah dengan melakukan pindaan undang undang semasa Pas berkuasa di peringkat Persekutuan pada 2020 - 2022 lalu.
"Perubahan (perundangan) berlaku selepas Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Pelantar Benua (Pindaan) 2009 wujud. Bila kedua dua akta ini diluluskan dalam Parlimen, berlaku perubahan dari segi sempadan, maka dari situ kawasan pengeluaran minyak jadi perubahan.
"Semasa Pas sertai kerajaan (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin sepatutnya benda itu disuarakan, buat pindaan kedua akta itu untuk membolehkan sempadan dipinda, bagi tujuan sebahagian hak (hasil petroleum diberi) ke negeri Terengganu.
"Namun tidak ada satu usaha pun (meminda akta), malah cakap cakap pasal itu pun tidak dibuat langsung. Menteri jaga undang undang (dari Pas, Datuk Seri) Takiyuddin Hassan, menteri kanan Pas mengelak berbincang mengenai isu ini," katanya.
Setelah tidak berkuasa di peringkat Persekutuan, jelas Azan, motif menimbulkan isu tersebut tentulah tidak lebih daripada mencipta gimik politik.
Namun, kata Ketua Cabang KEADILAN Kuala Terengganu itu, jika syarikat petroleum berkenaan benar benar ditubuhkan maka obligasi Kerajaan Negeri akan bertambah besar kerana terpaksa membayar gaji dan elaun kakitangan Petroleum Terengganu.
"Sekarang (mahu) tubuh Petroleum Terengganu, sedangkan sedar benda itu setakat rancangan yang tidak dapat dipenuhi (terdapat batasan undang undang), ianya jadi 'smoke screen'
"Hanya nak suruh rakyat Terengganu percaya ada peluang yang dibuat oleh pentadbiran Pas dan bakal dapat manfaat besar, sesuatu yang diusahakan oleh kerajaan Terengganu.
"Sedangkan dia (kerajaan Pas) tahu, buat apa pun tak boleh ubah kedudukan (undang undang).
"Mahu tubuh syarikat boleh, tetapi ia makan belanja nak lantik lembaga pengarah, bayar gaji, elaun dan lain lain sedangkan Kerajaan Negeri nak beri elaun (kepada kakitangan sedia ada) pun bermasalah," katanya lagi.
Sehubungan itu, Azan menyeru rakyat Terengganu menilai idea idea yang dilontarkan oleh Dr Samsuri sepanjang memerintah negeri itu.
Apakah idea beliau menambah baik kehidupann rakyat atau hanya idea untuk mileage politik semata mata dan tidak berkesudahan.
Comments