Oleh: Abdullah Zaid
Karnival Ulang Tahun 25 KEADILAN terus meriah dengan sesi Sembang Santai bersama Altimet melibatkan tiga pimpinan KEADILAN.
Dalam mengisi ruang kemeriahan tersebut, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sempat menyarankan orang ramai untuk menonton filem arahan Syafiq Yusof berjudul Sheriff: Narko Integriti.
Berkongsi pengalamannya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, filem yang menfokuskan operasi membasmi rasuah itu sememangnya sinonim dengan semangat perjuangan KEADILAN yang memerangi budaya rasuah daripada terus berleluasa di negara ini.
"Saya baharu tonton filem Sheriff. Kalau yang belum tengok kena tonton, kita adalah kumpulan lawan rasuah. Jadi kita kena support sebab filem ini adalah isu mengenai lawan rasuah.
"Selain itu filem ini juga dihasilkan daripada dana kementerian, jadi tolong support filem ini," katanya dalam program Karnival 25 Tahun KEADILAN di Sentul Depot, hari ini.
Filem Sherif membabitkan dua penerbit terkemuka iaitu Skop Productions bersama Astro Shaw, membariskan pelakon seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan.
Jalan cerita berkisahkan sekitar hidup seorang anggota polis, Nazri dari jabatan narkotik yang memerangi kegiatan sindiket dadah Tony Ifrit yang semakin berleluasa.
Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas daripada cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.
Pada masa sama, seorang anggota jabatan integriti dihantar oleh pengurusan tertinggi polis untuk menyelesaikan kes Meth Killer dan ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.
Setakat ini, Sheriff yang terus mendominasi pawagam sudah mencatat kutipan lebih RM52 juta dalam tempoh 22 hari tayangan di seluruh negara.
Filem kerjasama Kementerian Komunikasi itu dijangka mampu memecahkan rekod filem Polis Evo 3 dengan pungutan berjumlah RM54.1 juta ketika ditayangkan tahun lepas yang juga arahan Syafiq.
Melihat potensi, karya arahan terbaharu anak Datuk Yusof Haslam itu mempunyai peluang cerah memadamkan rekod dipegang filem arahan abangnya, Syamsul Yusof iaitu Mat Kilau Kebangkitan Panglawan (RM97 juta) yang ditayangkan tahun 2022 lalu.
Comments