Ceramah kempen Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri dicemari dengan unsur perkauman, agama dan raja (3R) apabila seorang individu pro pembangkang dengan sengaja menggelar parti DAP sebagai kafir harbi.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan, ungkapan seumpama itu amat tidak wajar dalam negara pelbagai kaum dan semua bangsa menumpahkan taat setia kepada Perlembagaan Persekutuan serta kerajaan memerintah.
"Saya merujuk kepada video tular yang memaparkan seorang individu dalam ceramah Pas-Perikatan Nasional di Nenggiri menuduh pihak lawan sebagai 'kafir harbi'. Kenyataan politik kafir mengkafir seperti ini bukan sahaja merosakkan perpaduan tetapi juga mengancam keharmonian negara yang dibina atas dasar toleransi dan hormat-menghormati.
"Angkatan Muda Harapan dengan tegas menolak politik kafir mengkafir yang memperalat agama untuk meraih sokongan politik perpecahan. Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berbahaya," katanya dalam satu kenyataan.
Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan pihak yang menuduh kafir tersebut kepada Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat 11.
Ayat itu katanya, melarang umat Islam menghina atau merendahkan orang lain apatah lagi mengkafirkan sesama Muslim kerana sebahagian daripada ahli DAP juga adalah beragama Islam.
Beliau juga menyeru agar anak muda Malaysia bangkit menolak politik ekstrem yang hanya membawa perpecahan. Katanya, anak muda seharusnya menjadi benteng utama dalam mempertahankan perpaduan negara.
"Angkatan Muda Harapan menggesa agar tindakan tegas diambil (terhadap individu tersebut) dan akan membuat laporan polis terhadap individu tersebut di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan," ujarnya.
Menurut Ammar, Pemuda Pakatan Harapan akan membuat laporan polis pada 2 petang, 10 Ogos ini di IPD Gua Musang dan pada 1 petang 11 Ogos di IPD Dang Wangi.
"Saya juga menyeru seluruh pimpinan anak muda pelbagai parti dan organisasi untuk turut sama mengecam kenyataan ini dan membuat laporan polis," katanya.
Menurut beliau lagi, tindakan undang undang sewajarnya diambil ke atas penceramah berkenaan untuk memastikan politik kebencian tidak dibiarkan berleluasa dan semua pihak mempertahankan perpaduan serta keharmonian negara dalam berpolitik.
"Akhir sekali, saya mendesak kepimpinan Pas dan Perikatan Nasional untuk segera menyatakan pendirian mereka dengan jelas.
"Jika mereka tidak bersetuju dengan kenyataan ini, mereka perlu mengecamnya secara terbuka demi menjaga keharmonian negara," katanya.
Comentarios