
Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj bagi Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor yang Kelima Belas untuk Tahun 2025 telah membangkitkan isu berkaitan Program Pemutihan Tahfiz yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Program itu telah berlangsung semenjak tahun 2021 setelah Tuanku Sultan Selangor bertitah pada tahun 2018 agar sebuah garis panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Selangor diwujudkan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Fahmi Ngah menyatakan bahawa proses pemutihan berjalan lancar sehingga kini di mana 49 daripada 606 sekolah tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mendapat Kebenaran Merancang (KM). Baki sekolah tahfiz yang belum mendapat KM masih dalam proses untuk diselesaikan pendaftaran selewatnya menjelang hujung tahun 2025.
Tidak timbul lambatkan pendaftaran
Usaha keras yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani Selangor ini telah ditohmah oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Ketua Pembangkang DUN Selangor (ADUN Hulu Kelang) dan Datuk Dr Ab Halim Tamuri selaku Pesuruhjaya Pas Selangor (ADUN Paya Jaras).
Antara tohmahan yang dilemparkan terhadap usaha murni tersebut adalah cubaan Kerajaan Madani Selangor melalui Ahli Majlis peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melambat proses mendapatkan KM bagi sekolah tahfiz tertentu terutama yang beroperasi di kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan Subang Jaya. Malah turut dibangkitkan berkenaan proses dan syarat berbeza antara PBT di Negeri Selangor, keadaan ini menyukarkan pendaftaran di kawasan tertentu terutama kawasan bandar.
Perkara pertama yang perlu diperjelaskan bahawa tidak timbul isu sabotaj oleh Ahli Majlis lantikan Kerajaan Madani Selangor di mana-mana PBT seperti yang dimaklumkan oleh Dr Fahmi Ngah, sehingga kini tiada sebarang laporan diterima berkaitan tuduhan salahguna kuasa oleh Ahli Majlis.
Jika benar wujud unsur sabotaj sebegitu maka sekurang-kurangnya laporan perlu dilakukan untuk siasatan dimulakan, namun sehingga kini tiada rungutan atau laporan sedemikian dikeluarkan oleh pengusaha sekolah tahfiz yang sedang melalui proses pemutihan.
Unsur sabotaj juga sukar berlaku membabitkan kelulusan kebenaran merancang kerana ia perlu melalui Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar/ Yang Dipertua PBT untuk mendapatkan keputusan. Justeru tohmahan yang dilemparkan ini sebenarnya memperkecilkan kedudukan seorang Datuk Bandar/ Yang Dipertua PBT sebagai penjawat awam. Penjawat awam seperti Datuk Bandar/ Yang Dipertua PBT tidak seharusnya diseret dalam permainan politik sempit sebegini.
Seterusnya tohmahan bahawa PBT di kawasan bandar sukar memberi KM seperti yang diberikan oleh PBT di kawasan lain adalah tidak benar, garis panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Selangor 2019 telah menyelaras dan memudahkan proses permohonan kebenaran merancang melibatkan semua PBT. Isu yang timbul melibatkan PBT dikawasan bandar adalah kedudukan sekolah tahfiz tertentu yang beroperasi di lot-lot kedai, lebih parah lokasi lot kedai yang dipilih adalah dibahagian lot sudut.
Perlu ambil kira kemaslahatan penduduk
Walaupun syarat kebenaran merancang telah diselaraskan oleh kesemua PBT di Negeri Selangor namun PBT tertentu terutama di kawasan bandar berhak menghalang pembukaan sekolah tahfiz di kawasan yang berisiko menyebabkan kesesakan lalu lintas. Segelintir kecil pengusaha sekolah tahfiz ini memilih untuk beroperasi di kawasan yang sesak dan padat (lot kedai dan lot sudut). Justeru PBT perlu mengambil kira kemaslahatan penduduk terbesar sesebuah kawasan terutama apabila melibatkan isu kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dengan mencadangkan atau mengarahkan pemindahan operasi sekolah tahfiz tertentu.
Sehingga kini tiada sekolah tahfiz yang melalui proses pemutihan diarahkan tutup oleh PBT dan Kerajaan Madani Selangor, yang ada hanya arahan dan cadangan pemindahan kawasan operasi segelintir kecil sekolah tahfiz atas sebab-sebab menjaga keharmonian masyarakat terbanyak.
Malah tuduhan bahawa tiada bantuan disalurkan oleh Kerajaan Madani Selangor bagi menampung dana sekolah tahfiz yang melalui proses pemutihan juga adalah tidak benar. Pada tahun 2021, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyalurkan sumbangan bagi membantu program Pemutihan Maahad Tahfiz melibatkan peruntukan sebanyak RM 3,350,000 kepada 350 buah sekolah tahfiz yang bernaung di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) bagi menampung kos penyediaan dokumen KM dan Pelan Bangunan serta yuran-yuran berkaitan.
Justeru tohmahan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang di DUN Selangor hanyalah cubaan mencalarkan kredibiliti dan usaha murni yang telah diusahakan selama ini oleh kepimpinan Kerajaan Madani Selangor.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments