Pemimpin Pas diingatkan untuk tidak menormalisasikan sikap hipokrit, mentohmah lawan politik, meminta maaf dan mengulangi tohmahan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sewajarnya menunjukkan tauladan baik dalam hal menjauhi tohmah atau fitnah yang ditentang keras dalam Islam.
"Saya amat kagum dengan perkongsian Timbalan Presiden Pas (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) mengenai kesilapan dan kemaafan dalam Islam.
"Kita semua mengakui bahawa setiap anak Adam tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, dan sebaik-baik mereka yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.
"Namun, taubat itu haruslah taubat nasuha, bukan sekadar di bibir tetapi dengan keinsafan yang sebenar tanpa mengulangi kesalahan yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini mengulas isu permohonan maaf apabila melakukan kesalahan dianggap sebagai tindakan terpuji dalam hantaran Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man.
Memperkuat ulasan pemimpin Pas itu, Dr Taufiq mengepilkan makna ayat Al Quran Surah Al-Baqarah: 191, “…fitnah itu lebih kejam daripada membunuh”.
Sehubungan itu, Dr Taufiq melontarkan persoalan adakah Islam membenarkan fitnah yang dilakukan secara berulang kali dan apakah hal itu diketegorikan sebagai kesilapan yang boleh dimaafkan?
Katanya, jelas sebagai pendakwah Islam sikap pemimpin Pas kebelakangan ini, yang telah pun berkali kali disaman atau mengaku salah, tetapi mengulangi tohmahan sama adalah perbuatan tercela dan tidak layak diangkat sebagai pejuang atau penggerak dakwah Islam.
"Kita telah melihat bagaimana pemimpin-pemimpin Pas, termasuk Ahli Parlimen Kepala Batas, YB Razman dan ramai lagi, mengulangi fitnah dalam ceramah-ceramah mereka. Walaupun telah disaman dan disabitkan kesalahan di mahkamah, namun mereka terus mengulangi perkara yang sama tanpa rasa insaf.
"Persoalannya, di manakah Presiden dan Timbalan Presiden Pas ketika pemimpin mereka menyebarkan fitnah? Di manakah ulama-ulama dalam Pas yang sepatutnya menegur? Jika mereka benar-benar berpegang pada ajaran Islam, mengapa mereka diam membisu apabila fitnah menjadi budaya dalam parti mereka?" tanyanya.
Ahli Parlimen Sungai petani itu menempelak sikap sebahagian pemimpin Pas yang menganggap tohmahan dan fitnah bukan lagi satu dosa besar tetapi dianggap 'harus' untuk memusnahkan musuh politik.
"Jangan kita normalisasikan sikap hipokrit ini. Jangan beri muka kepada pemimpin Pas yang menjadikan fitnah sebagai alat politik hanya kerana mereka mendakwa perjuangan mereka atas nama Islam. Islam tidak menghalalkan fitnah dan pembohongan, walau dengan apa alasan sekalipun.
"Sudah tiba masanya Pas benar-benar bertaubat. Bukan hanya bercakap soal dosa dan pahala ketika ia menguntungkan mereka, tetapi mengamalkannya dalam kehidupan dan politik mereka sendiri.
"Islam mengajar kita tentang kebenaran dan keadilan, bukan menggunakan agama untuk menghalalkan kejahatan," katanya lagi.
Dalam hantaran di Facebooknya semalam, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata memohon maaf selepas melakukan kesalahan adalah perbuatan terpuji.
Namun beliau berkata, permohonan maaf itu perlulah lahir daripada hati yang ikhlas serta bukan bertujuan mempermainkan permohonan berkenaan.
Comments