Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan menyasarkan kemasukan seramai 35.6 juta pelancong antarabangsa menerusi penganjuran Kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata kempen TMM itu dijangka menjana resit pelancongan sebanyak RM147.1 bilion.
Anwar menyifatkan, sasaran berkenaan sebagai sesuatu cita-cita tinggi, namun adalah ia pragmatik dan realistik.
"Tentunya manfaat kejayaan pelaksanaan kempen ini akan dirasai oleh pelbagai industri termasuk pelancongan serta makanan dan minuman," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Peluncuran Kempen TMM 2026 di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini.
Turut hadir dalam majlis itu adalah, Timbalan Perdana Menteri (TPM) I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; TPM II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bertemakan ‘Malaysia Destinasi Lestari dan Kaya Budaya’, Kempen TMM 2026 memperkenal lagu tema baharu iaitu ‘Surreal Experiences’ dan Wira dan Manja, si beruang madu sebagai maskot rasmi.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden KEADILAN meminta semua kementerian agar memberikan tumpuan dalam meningkatkan keupayaan sektor pelancongan, pelaburan dan ekonomi sempena penganjuran TMM 2026.
Beliau juga mahu semua negeri tidak terpinggir dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama sekali gus berupaya mencapai keuntungan RM147.1 bilion seperti disasarkan.
Comments