Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Titah ucapan Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini adalah detik yang dinanti-nantikan oleh banyak pihak.
Sebagai ketua negara yang baharu dilantik serta dikenali sebagai Sultan Johor yang tegas dan menyampaikan ucapan perasmian Parlimen buat pertama kali, tumpuan yang dinanti-nantikan ialah apakah intipati ucapan yang bakal dititahkan.
Akhirnya, setelah mendengar dan meneliti titah baginda, ternyata ucapan tersebut bukan sahaja menyerlahkan ketegasan tuanku yang sentiasa konsisten, malah memberi maksud yang menyeluruh untuk kepentingan masa depan negara.
Atas kapasiti baginda sebagai ketua negara, kelihatan tiada lain yang baginda ingin lihat melainkan negara terus makmur serta maju, perpaduan dikekalkan, tiada pergolakan politik menggugat kestabilan dan hidup rakyat sentiasa terbela.
Tidak layan cubaan gugat kestabilan politik
Secara tegas, baginda menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang sedia wujud hari ini dihormati, sambil mengingatkan baginda juga tidak akan melayan sebarang cubaan menggugat kestabilan politik.
Bagi yang galak bermain politik, baginda memberi amaran supaya mereka menunggu peluang untuk bersaing secara sihat pada Pilihan Raya Umum akan datang.
"Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak akan melayan sebagai permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.
"Semua pihak mestilah menerima dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada hendak bermain politik, tunggu masa pilihan raya yang akan datang," titah baginda.
Pamerkan teladan baik
Di waktu yang sama, Yang di-Pertuan Agong menegur kelakuan Ahli-Ahli Parlimen dan mahu mereka sentiasa mempamerkan teladan yang baik.
Selain perlu menjaga adab dan tatatertib, baginda juga mahu Ahli-Ahli Parlimen menggunakan pertuturan yang sopan.
"Saya mahu ingatkan, Parlimen ini adalah tempat untuk penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat (YB) semua adalah penggubalnya.
"Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat. Justeru, saya harap semua ahli akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan ini.
"Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain," titah baginda.
Sehubungan itu, baginda memberi lampu hijau kepada Speaker Parlimen untuk bertindak tegas terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang berkelakuan melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.
Tidak lupa, baginda juga menzahirkan kebimbangan tentang perpaduan dan hutang negara yang kian meningkat.
"Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.
"Kedudukan kewangan yang lemah pula akan menyukarkan kerajaan melaksanakan projek pembangunan baru atau menyediakan insentif kewangan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi," titah Sultan Ibrahim lagi.
Sokong langkah penjimatan kerajaan
Di samping menyokong inisiatif kerajaan dalam melaksanakan langkah penjimatan drastik termasuk melaksanakan subsidi bersasar, baginda juga menyarankan agar dasar-dasar baru terus diperkenalkan untuk melengkapi dasar-dasar nasional yang lain seiring dengan pendekatan negara yang lebih menyeluruh.
Dalam hal berkaitan, baginda bertitah untuk menyemak perbelanjaan kerajaan dengan lebih teliti dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.
"Saya berharap semasa pemerintahan saya ini, kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun.
"Saya tidak suka dengan sistem yang banyak “red tape”. Oleh itu kecekapan proses kerja dan tadbir urus mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan," titah baginda.
Yang pasti, selain memberi titah yang bertujuan memastikan kestabilan politik negara, intipatinya amat menyeluruh untuk kebaikan masa hadapan negara.
Yang paling penting untuk difahami ialah lupakan soal politik seketika sementara menunggu PRU akan datang. Semua pihak - pembangkang dan kerajaan baik pimpinan atau penyokong bawahan - marilah kita bersama-sama berganding bahu membina negara ini.
________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
*Kredit foto: Jabatan Penerangan
Comments